Kepimpinan baharu Persatuan Anak-Anak Kelantan
KOTA BHARU - Kepimpinan baharu Persatuan Anak-Anak Kelantan Darul Naim Malaysia (Pakatan) melibatkan gabungan ‘otai’ disegani dan tokoh baharu bakal menjadikan gerak kerja lebih progresif.
Setiausaha Agung, Azlan Abdullah berkata, barisan peneraju kali ini menampilkan tokoh dan ikon antaranya yang berjaya dalam bidang kemasyarakatan, korporat, keusahawanan, kewartawanan, profesional, pendidikan, kebudayaan, sukan dan agama.
Menurutnya, kepimpinan baharu ini dengan penglibatan individu dalam pelbagai bidang dijangka berupaya merangka dan menjayakan pelbagai program yang memberi manfaat kepada seluruh anak-anak Kelantan khususnya di perantauan.
“Ini juga dapat mengukuhkan matlamat penubuhan Pakatan sebagai satu platform jaringan hubungan anak-anak Kelantan yang terbesar dan terlama dalam negara,” katanya kepada Sinar Harian.
Mesyuarat berlangsung di ibu pejabat Pakatan dekat Kuala Lumpur, semalam yang dihadiri 120 orang menyaksikan pengasasnya juga mantan Ketua Pengarah Dewan Bandar Raya Kuala Lumpur, Datuk Dr Noordin Abdul Razak kekal sebagai presiden bersama gandingan dua
timbalannya iaitu Datuk Seri Izuddin Ishak (kekal) dan muka baharu, Datuk Muhammad Nasir Hamzah yang juga Timbalan Pengerusi Kumpulan Media Karangkraf
Bagi jawatan Naib Presiden pula disandang Datuk Dr Wan Suhaimi Wan Daud, Mohd Lukman Ghani dan Roslan Mohamed, manakala Wan Mohd Hilmi W A Lah@Wan Mohamad sebagai bendahari.
Barisan jawatankuasa pula terdiri daripada Tengku Mohamed Faiz Tengku Mohd Yusoff, Dr Radhir Sham Mohamad, Mohd Yusri Maimun, Zulkifli Abdullah, Kamaruddin Mahmood, Musdi Hussin, Eh Pon A/L Awang Din, Wan Shamsiah Wan Ibrahim dan Zunaidah Isa
Sebelum ini, Mesyuarat Agung Tahunan Pakatan Ke-27 yang dijadualkan berlangsung pada 28 September lalu ditangguhkan sebagai penghormatan ke atas kemangkatan Ayahanda Sultan Kelantan, Sultan Ismail Petra.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!