Belanjawan 2020 perkasa ekonomi digital

No Image Caption
A
A
A

KERAJAAN amat serius untuk memacu ekonomi digital apabila Belanjawan 2020 yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dilihat lebih menumpukan kepada usahawan tekno atau technopreneur sebagai sebahagian usaha mendepani cabaran Revolusi Industri 4.0.

Dengan jumlah peruntukan yang besar dan beberapa insentif galakan, usahawan perlu mengambil peluang melakukan perubahan serta melonjakkan ekonomi digital.

Namun, walaupun bajet itu banyak, peniaga industri perusahaan kecil dan sederhana (PKS) juga perlu mempelajari bagaimana digital akan merancakkan perniagaan mereka.

Usahawan perlu berani mencuba dalam industri ekonomi digital agar mereka tidak ketinggalan.

Antara intipati Bajet 2020 membabitkan ekonomi digital adalah seperti kerajaan akan membangunkan infrastruktur yang diperlukan untuk membentuk Digital Malaysia melalui kerjasama awam swasta melibatkan pelaburan sebanyak RM21.6 bilion dan kerajaan akan membiayai sekurang-kurangnya separuh.

Kerajaan juga akan memperkenalkan Geran Pembangunan Ekosistem 5G bernilai RM50 juta.

Sebanyak RM25 juta akan diperuntukkan untuk menyediakan dana geran padanan secara bidaan untuk menggalakkan lebih banyak projek perintis aplikasi digital bagi dron penghantar, kenderaan pandu sendiri dan teknologi blockchain.

Bagi merancakkan pertumbuhan e-dagang itu kerajaan memperuntukkan RM20 juta kepada Malaysian Digital Economy Corporation (MDEC) untuk mengembangkan jaguh tempatan dalam mewujudkan kandungan digital.

Artikel Berkaitan:

Di samping itu bagi pengusaha PKS, kerajaan akan menyediakan 50 peratus geran padanan sehingga RM5,000 untuk PKS menerima pakai langkah pendigitalan operasi mereka seperti sistem jualan elektronik.

Sementara itu, sejumlah RM70 juta diperuntukkan kepada Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) untuk menubuhkan 14 Pusat Peningkatan Digital Sehenti di semua negeri untuk memudahkan akses kepada pembiayaan dan pembangunan kapasiti perniagaan.

Sebanyak RM10 juta pula diperuntukkan kepada MDEC untuk melatih usahawan mikro-digital dan pakar teknologi memanfaatkan e-Pasaran dan platform media sosial untuk menjual produk mereka.

Seiring dengan peruntukan ‘mewah’ untuk pembangunan ekonomi digital ini diharap pemain industri terutamanya PKS dapat memanfaatkan sebaik mungkin.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!