Mayat lelaki bertatu ditemukan diikat dengan batu
SIBU - Mayat seorang lelaki bertatu di kedua belah bahu ditemukan diikat dengan batu-bata di sebuah jeti persendirian di Sungai Rajang, dekat Jalan Lanang, hari ini.
Mayat itu ditemukan tersangkut pada pukat yang dipasang berdekatan sebuah bunker minyak oleh orang awam yang melalui kawasan tersebut pada 6 petang tadi.
Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Stanley Jonathan Ringgit ketika dihubungi berkata, mayat tersebut yang belum dikenal pasti identitinya hanya memaki seluar panjang.
“Kita sedang cuba mengenal pasti identiti mayat itu. Sejak kebelakangan ini tiada sebarang laporan kehilangan orang diterima,” katanya.
Mayat tersebut berjaya dinaikkan oleh pihak Bomba dan Penyelamat pada jam 8.15 malam dalam keadaan cuaca hujan lebat.
Menurut Stanley, enam batu bata masing-masing diikat pada leher dan bahagian pinggang mangsa.
Mayat itu kemudian dibawa ke Hospital Sibu untuk bedah siasat. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!