Kertas Putih Pertahanan Negara dibentang 2 Disember ini
KUALA LUMPUR - Kertas Putih Pertahanan Negara kini dalam peringkat akhir penyediaan dan dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat pada 2 Disember ini.
Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu berkata, draf awal kertas putih itu telah diluluskan selepas dibentangkan pada Mesyuarat Keselamatan Negara yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini.
“Ini adalah peringkat akhir dan kertas putih ini adalah sebagai panduan untuk Kementerian Pertahanan dalam rancangan 10 tahun bagi kementerian itu,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perhimpunan Kementerian Pertahanan di Auditorium Wisma Pertahanan, di sini hari ini.
Turut hadir, Timbalan Menteri Pertahanan, Liew Chin Tong; Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Mohd Zuki Mohd Ali dan Pemangku Panglima Angkatan Tentera merangkap Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany.
Mohamad berkata, Kertas Putih Pertahanan yang pertama kali dibuat di Malaysia itu mengambil contoh beberapa negara lain antaranya Brunei, Australia, Jerman dan New Zealand.
Dalam perkembangan lain, Mohamad berkata, Kementerian Pertahanan merupakan penerima kelima terbesar dalam Belanjawan 2020 dengan jumlah peruntukan sebanyak RM15.6 bilion.
Beliau berkata, bagi program kesiapsiagaan dan operasi dalam memastikan kedaulatan negara terus dipertahan, sebanyak RM5.7 bilion diperuntukkan kepada Tentera Darat Malaysia (TLDM) berjumlah RM2 bilion, Tentera Udara Diraja Malaysia (RM2.5 bilion) dan RM1.4 bilion untuk Angkatan Bersama.
“Komitmen akan diteruskan bagi memastikan setiap perancangan perbelanjaan mengikut prosedur sedia ada bagi mengelak berlakunya pembaziran,” katanya.
Sementara itu, Mohd Reza berkata, kerajaan bercadang untuk menyediakan kira-kira 20 bot Pemintas Laju (Fast Interceptor Crafts) sebagai usaha mempertahankan perairan negara terutama di Sabah.
Beliau berkata, kira-kira RM220 juta disediakan untuk membeli bot itu dan tender telah dibuka bagi proses pembelian. - Bernama
ARTIKEL BERKAITAN: Pentingnya Kertas Putih Pertahanan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!