Anjing K9 bantu siasatan kabin terbakar
KUANTAN - Unit Anjing Pengesan (K9) Kuala Lumpur akan dibawa ke lokasi kebakaran sebuah kabin kontena di Jalan Stadium di sini bagi membantu siasatan.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Nor Hisham Mohamad berkata, pihaknya akan melibatkan Unit K9 untuk mengesan jika ada mangsa lain yang rentung dan terperangkap serta melihat faktor dan punca kebakaran secara menyeluruh.
"Adakah kejadian sama ada disengajakan atau tidak serta elemen jenayah.
"Hasil siasatan awal, pihak kami menolak kemungkinan faktor elektrik punca kebakaran kerana kabin kontena tersebut merupakan kabin tinggal yang tiada pendawaian elektrik," katanya ketika ditemui Sinar Harian di lokasi kebakaran pagi ini.
Dalam kejadian itu, pihak bomba menemukan satu mayat rentung dipercayai wanita berdasarkan keadaan fizikal mayat.
Penguasa Kanan Bomba Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Ismail Abd Ghani berkata, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.
Menurutnya, pihak bomba sebelum itu menerima panggilan pada jam 5.01 pagi dan tiba di lokasi kejadian dua minit kemudian.
"Secara fizikal ia sebuah bangunan kontena tinggal dipercayai sebelum ini digunakan sebagai surau oleh peniaga setempat dan pernah dijadikan rumah pekerja sebuah projek pembinaan berdekatan dan kemudian ditinggalkan," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Mayat rentung ditemui dalam kabin terbakar
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!