Tujuh terkorban dalam kebakaran di Pahang tahun ini
KUANTAN - Mayat ditemukan rentung dalam kabin terbakar berhampiran Pusat Transformasi Bandar (UTC) Kuantan pagi tadi merupakan korban ketujuh akibat kebakaran di Pahang tahun ini.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Nor Hisham Mohamad berkata, jumlah itu menunjukkan peningkatan melibatkan kematian akibat kebakaran di negeri ini.
Menurutnya, sebelum ini seorang mangsa meninggal dunia dalam kebakaran di Triang, tiga di Sungai Isap dan dua di Sungai Lembing.
"Peningkatan yang begitu mendadak melibatkan mangsa yang terkorban dalam kebakaran di Pahang. Bagi pihak jabatan kita rasa sedih kerana ini mangsa kebakaran dan ketujuh tahun ini berbanding dua mangsa tahun lalu.
"Kita akan melihat balik program-program kesedaran kebakaran yang kita buat dan analisa isu yang menyumbang kepada kejadian.
"Dalam kes terdahulu kita dapati kebakaran biasanya 60 peratus berpunca daripada elektrik. Namun dalam kebakaran hari ini bukan disebabkan hal itu (membabitkan kabin tinggal)," katanya.
Beliau berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan program pendidikan yang diberi mungkin membabitkan mangsa yang tidak termasuk dalam golongan sasaran JBPM.
ARTIKEL BERKAITAN: Mayat rentung ditemui dalam kabin terbakar
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!