HUNGARY - Video seorang Datuk Bandar di wilayah Gyor, Hungary yang dirakam melakukan hubungan seks dengan seorang pelacur di sebuah kapal layar tular di media sosial. Zsolt Borkai, 54, yang juga merupakan pemenang pingat emas Olimpik pada tahun 1988 turut mengakui bahawa individu di dalam video tersebut merupakan dirinya dan sememangnya terlibat dalam skandal seks. Daily Star melaporkan, video yang disebarkan melalui sebuah blog politik mendakwa pemimpin tersebut terlibat dalam kes rasuah, penyalahgunaan dadah dan turut menggaji pekerja seks. Video tersebut dipercayai diambil sewaktu Borkai bercuti di Laut Adriatic yang terletak di pesisir pantai Dubrovnik, Croatia dan kelihatan beberapa wanita turut dilihat di dalam video tersebut dalam keadaan mabuk. Borkai yang memenangi pingat emas acara kekuda pelana (gimnastik) pada temasya Olimpik di Seoul pada 1988 sebelum terjun ke bidang politik bagaimanapun enggan meletak jawatan susulan penyebaran video salah laku seksnya itu.