Kantoi miliki baju polis, pistol mainan
ALOR SETAR - Empat individu ditahan melibatkan pelbagai kesalahan termasuklah memiliki mainan berwarna hitam menyerupai pistol dalam Ops Mabuk di Jalan Putra, di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin berkata, keempat mereka ditahan dalam operasi dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Kota Setar dibantu anggota SSPDRM Kota Setar bermula jam 1 pagi hingga 4 pagi.
Beliau berkata, tiga lelaki berusia 22 hingga 35 tahun yang menaiki kereta jenis Proton Saga FLX ditahan selepas didapati berpatah balik ke arah lampu isyarat sebuah restoran.
"Berdasarkan pemeriksaan pada badan mereka, tiada apa-apa barang salah ditemui. Bagaimanapun, siasatan lanjut dalam kenderaaan menemui baju uniform seragam polis dengan tujuh butang besi, rantai dan wisel tanpa tanda nama di atas tempat duduk belakang.
"Malah, kita turut menemui sebuah beg warna hitam mengandungi sepucuk pistol berwarna hitam menyerupai pistol sebenarnya dengan nombor siri ditulis menggunakan pemadam cair," katanya.
Rozi berkata, pemandu kenderaan berusia 30 tahun yang bekerja sendiri mengaku kesemua barang ditemui dalam kenderaan adalah miliknya.
Katanya, ketiga suspek didapati positif dadah jenis methamphetamine dan disiasat dibawah Seksyen 170 Kanun Keseksaan, Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960 serta Seksyen 15(1) Akta Dadah Bahaya (ADB) 1952.
Sementara itu, seorang lagi yang ditahan ialah penunggang motosikal yang didapati menunggang di bawah pengaruh alkohol.
"Penunggang itu didapati melakukan kesalahan di bawah Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 (Pindaan 1994).
Sehubungan itu, katanya, semua suspek ditahan dan kenderaan dirampas untuk tindakan lanjut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!