Dua kontena dikesan bawa rokok seludup RM16. 06 juta
DENGKIL - Taktik sindiket penyeludupan rokok yang menipu pengikraran Borang Kastam untuk membawa masuk secara haram barangan tersebut di Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang berjaya dibongkar Jabatan Kastam Diraja Malaysia (Kastam), Khamis lalu.
Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri Paddy Abdul Halim berkata, operasi Unit Siasatan Dalaman, Jabatan Kastam Diraja Malaysia kira-kira jam 2.30 petang itu berjaya mengesan dua buah kontena yang mencurigakan.
Menurutnya, pemeriksaan lanjut menemui 20.6 juta batang rokok putih berjenama John yang dianggarkan bernilai RM16.06 juta termasuk nilai duti dan cukai.
"Dua lelaki tempatan berusia lingkungan 40-an yang disyaki berperanan menguruskan pengikraran dagangan dalam kontena terbabit.
"Semakan lanjut berdasarkan dokumen yang diperoleh dipercayai sindiket rokok tersebut dibawa masuk dari Hong Kong," katanya pada sidang akhbar di Pejabat Kastam di sini hari ini.
Selain itu, Paddy turut mendedahkan taktik sindiket berkenan yang menggunakan butiran lesen Gudang Pengilangan Berlesen (GPB) bagi mengelirukan pegawai penguatkuasa.
Katanya, pemeriksaan borang kastam menunjukkan barang dagangan yang diikrar adalah berbeza dengan kandungan fizikal yang ditemui.
"Modus operandi ini sudah lama dikesan berdasarkan 'patern' dan risikan yang kita lakukan," katanya.
Katanya, kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967 dan Akta Eksais 1976.
Justeru, beliau menyeru orang awam untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau Pejabat Kastam yang terdekat di semua negeri.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!