Lelaki hilang sejak Ahad ditemukan mati lemas
TEMERLOH - Mayat seorang lelaki yang hilang selepas dipercayai lemas pada Ahad lalu di Sungai Pahang dekat Kampung Seboi, Kuala Krau ditemukan hari ini.
Mangsa, Che Wan Abdul Manap Wan Abdullah, 42, dari Felda Jengka 3 ditemui kira-kira jam 11.45 pagi tadi dalam lingkungan 30.3 kilometer dari tempat terakhir mangsa dilihat.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Temerloh, Penolong Penguasa Bomba, Syed Mohsen T Ismail berkata, mayat mangsa ditemukan terapung oleh anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan telah disahkan identiti serta diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
"Operasi mencari dan menyelamat (SAR) bermula jam 9 pagi dengan bantuan empat anggota Unit Pengesan K9 selain agensi-agensi lain iaitu pihak polis, APM dan orang kampung selain anggota bomba dengan jumlah kekuatan 42 orang serta beberapa unit bot.
"Operasi SAR berakhir jam 2.30 petang ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pada Ahad lalu, mangsa bersama seorang rakan pergi memancing menggunakan dua buah berasingan di sungai terbabit dan dilaporkan hilang kira-kira jam 3.30 petang.
ARTIKEL BERKAITAN: 'Saya mohon ampun pada awak, keluarga'
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!