'Terkejut api menjulang tinggi dari rumah jiran'

Anggota bomba sedang memadamkan kebakaran di Jalan Puteri Hang Li Po, Bukit Cina malam tadi. - Foto Ihsan Bomba
Anggota bomba sedang memadamkan kebakaran di Jalan Puteri Hang Li Po, Bukit Cina malam tadi. - Foto Ihsan Bomba
A
A
A

MELAKA TENGAH - "Kami sangka orang main bunga api tapi bila jengah ke tingkap, kami terkejut nampak api menjulang tinggi dari rumah sebelah," kata Salma Ismail, 54, menceritakan detik cemas apabila rumah kosong bersebelahan mereka terbakar di Jalan Puteri Hang Li Po, Bukit Cina di sini malam tadi.

Ketika kejadian kira-kira jam 9.45 malam itu, Salma bersama kakak iparnya, Sarah Mokhtar, 61, dan Midah Mokhtar, 54, mahu melelapkan mata namun dikejutkan dengan bunyi letupan kecil.

Katanya, dia yang panik bagaimanapun sempat memapah kakak iparnya yang menghidap strok keluar dari rumah bagi menyelamatkan diri termasuk seorang lagi kakak ipar yang juga orang kurang upaya (OKU).

"Masa tu memang tak fikir nak cari kerusi roda, lalu saya kuatkan semangat untuk papah kakak keluar menyelamatkan diri.

"Namun nasib baik, ada polis yang datang dan segera membantu membawa kami keluar," katanya.

Tiga saudara yang terselamat dalam kejadian itu.
Tiga saudara yang terselamat dalam kejadian itu.

Sementara itu, penduduk berhampiran, Shyan Her, 59, berkata, dia bernasib baik kerana belum tidur lena, jika tidak pasti dia bersama tiga ahli keluarganya akan terperangkap.

Menurutnya, ketika itu dia bersama isteri, Eng Kit, 55, dan dua anak masing-masing berusia 22 dan 17 tahun berada di dalam bilik sebelum menyedari bekalan elektrik tiba-tiba terputus.

Artikel Berkaitan:

"Terkejut juga tiba-tiba tiada elektrik. Saya keluar dan terkejut apabila melihat rumah kosong di sebelah sudah terbakar.

"Apa lagi kami terus menjerit meminta pertolongan dan bernasib baik terselamat," katanya.

Sementara itu, Pegawai Pengurusan Operasi negeri, Penolong Penguasa Bomba Yazid Mohd Tahir berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.53 malam dan kebakaran dipercayai bermula dari rumah kosong, namun punca kebakaran sedang disiasat pasukan forensik bomba.

"Empat jentera dengan kekuatan 25 anggota termasuk pegawai dikejarkan ke lokasi kejadian sebelum api berjaya dikawal sejam kemudian. Tiada sebarang kecederaan dilaporkan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!