Peralihan kuasa PM dimeterai 7 Januari 2018, dedah Anwar
KUALA LUMPUR - Peralihan kuasa Perdana Menteri daripada Tun Dr Mahathir Mohamad kepada Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah terkandung dalam perjanjian dimeterai pimpinan Pakatan Harapan (PH) pada 7 Januari 2018.
Perkara itu didedahkan Anwar sendiri ketika sesi perbahasan di Dewan Rakyat hari ini.
Anwar berkata, perjanjian itu menetapkan Dr Mahathir dan isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail akan berundur daripada jawatan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri apabila tiba masa kelak.
"Soal transisi saya sudah ulang. Pertama, bukan terletak kepada Port Dickson (Anwar) dan Langkawi (Dr Mahathir). Ini soal perjanjian yang telah ditermeterai pada 7 Januari 2018, ditandatangan oleh semua pimpinan (PH) tapi tidak ditandatangani Presiden UMNO.
"Perjanjian bahawa andai PH menang, maka Dr Mahathir akan diangkat sebagai Perdana Menteri dan (Dr) Wan Azizah sebagai Timbalan Perdana Menteri, Anwar sementara itu meringkuk dalam penjara setelah dibebaskan dan layak bertanding. Peralihan kuasa akan berlaku itu jelas," katanya.
Anwar yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata demikian ketika ditanya Datuk Seri Shahidan Kassim (BN-Arau) bila isu peralihan kuasa Perdana Menteri antara beliau dan Dr Mahathir akan selesai.
Dalam sesi sama, Anwar turut menafikan bahawa Dr Wan Azizah akan kekal di kerusi Timbalan Perdana sekiranya peralihan antara beliau dan Dr Mahathir berlaku sebagaimana didakwa, sebaliknya Dr Wan Azizah akan turut berundur daripada jawatan tersebut.
“Jangan bimbang, soalnya sekarang tanya berapa lama (peralihan kuasa berlaku), perjanjian tidak menetapkan secara khusus tarikh cuma maksud itu disegerakan (peralihan kuasa). Ada yang bincang berlaku dalam satu tahun dan ada bincang berlaku selama dua tahun,” katanya.
Bagaimanapun, Anwar menjelaskan, beliau menyerahkan perkara itu kepada pimpinan PH untuk membuat keputusan.
"Mereka (pimpinan PH) putuskan, bukan keputusan saya seorang atau Langkawi (Dr Mahathir) seorang. Jadi, persepsi ini kawan-kawan tolong, bagi saya sudah selesai,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!