Tindakan Turki akibat dunia gagal bertindak: Erdogan
WASHINGTON - Presiden Recep Tayyip Erdogan berkata, kegagalan masyarakat antarabangsa membantu Turki yang berdepan masalah menguruskan jutaan pelarian mendorong negara itu melancarkan operasi di sempadan Turki dan Syria, lapor agensi berita Anadolu.
Memetik artikel The Wall Street Journal, Erdogan berkata, tiada negara yang menghadapi krisis kemanusiaan paling teruk berbanding apa yang dialami Turki sejak perang saudara Syria meletus pada 2011.
Tegasnya, sudah cukup Turki bertahan selama ini dan dunia pula sering mengabaikan amarannya bahawa negara ini tidak berupaya lagi untuk menangani masalah penjagaan lebih 3.6 juta pelarian Syria tanpa sokongan antarabangsa.
"Pentadbiran saya membuat kesimpulan komuniti antarabangsa enggan bertindak, jadi kami merangka rancangan untuk utara Syria. Masyarakat antarabangsa sepatutnya bersama-sama sertai usaha kami atau terima pelarian," kata Erdogan.
Turki pada Rabu melancarkan Operasi Peace Spring untuk menghapuskan pengganas di utara Syria dengan alasan bagi memastikan keadaan keselamatan di sempadan Turki, membantu pelarian Syria pulang ke negara asal mereka dengan selamat selain mengekalkan integriti wilayah Syria.
Ankara mahu membersihkan kawasan utara Syria di Sungai Euphrates daripada pengganas Parti Pekerja Kurdistan (PKK) dan Unit Perlindungan Rakyat (YPG) dan Parti Kesatuan Demokratik (PYG), cabang kumpulan pengganas Syria.
Dalam kempen keganasan lebih 30 tahun terhadap Turki, PKK disenaraikan sebagai organisasi pengganas oleh Turki, AS dan Kesatuan Eropah - bertanggungjawab menyebabkan kematian 40,000 orang termasuk wanita, kanak-kanak dan bayi.
Erdogan berkata, Turki tidak mempunyai masalah dengan mana-mana kumpulan etnik atau agama di Syria.
Dalam artikel itu Erdogan juga menyelar beberapa negara Eropah kerana gagal menghentikan kemasukan pengganas asing pada 2014 dan 2015.
"Mungkin kerajaan negara Eropah tertentu, saya tidak mahu namakan, boleh jelaskan kepada dunia bagaimana seorang warganya boleh menaiki penerbangan ke Istanbul pada 2014 bersama dengan peluru hidup dalam bagasinya.
"Sama dengan Perancis yang dikatakan telah menyekat penjualan senjata ke Turki, tetapi mengapa negara itu tidak mengendahkan amaran awal kami mengenai serangan pengganas yang akan berlaku?," tambah beliau.
Menjawab mengenai kritikan Liga Arab mengenai operasi Turki itu, Erdogan berkata kenyataan itu tidak mencerminkan pandangan dan sentimen rakyat Arab secara keseluruhan.
"Jadi kalau mereka tidak suka dengan apa yang Turki buat untuk pelarian Syria, berita tahu saya berapa ramai mangsa perang yang mereka mahu terima?
"Berapa banyak mereka menyumbang kepada usaha untuk menamatkan krisis kemanusiaan di Syria? Inisiatif politik mana yang mereka ambil untuk menyokong menamatkan perang saudara?," tegas Erdogan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!