46,000 pekebun kecil disaran jual lateks
SIK - Seramai 46,000 pekebun kecil dan penoreh di Kedah disaran beralih kepada inisiatif memasarkan susu getah atau lateks sebagai alternatif meningkatkan pendapatan antara 30 hingga 50 peratus.
Exco Pertanian dan Asas Tani, Azman Nasrudin berkata, penghasilan lateks iaitu susu getah cair bukan sahaja memberi pulangan lebih tinggi, malah turut mengelak risiko kecurian berbanding getah sekerap.
Menurutnya, kebimbangan terhadap ketiadaan pembeli lateks tidak menjadi persoalan memandangkan terdapat syarikat bersedia untuk berbuat demikian termasuklah komitmen daripada Perbadanan Kemajuan Getah Malaysia (Mardec).
"Sekarang ini, lateks di Kampung Selamat dibeli Mardec yang datang kutip dua kali seminggu. Sekiranya lebih ramai nak hasilkan lateks, Mardec sedia membeli.
"Kalau lebih ramai sehingga 70 peratus penoreh menghasilkan lateks, saya kira mungkin banyak kilang susu getah akan beroperasi semula," katanya ketika mengadakan pertemuan dengan pekebun kecil dan penoreh di Depo Pengumpulan Skrap (DPS) Kampung Selamat di sini hari ini.
Katanya, sebelum ini, kebanyakan penoreh menghasilkan getah skrap menyebabkan banyak kilang yang menerima lateks ditutup.
"Kelebihan penghasilan lateks adalah lebih cepat berbanding skrap yang mengambil masa beberapa hari sebelum dikutip," katanya.
Azman berkata, Koperasi Depo Kampung Selamat turut mengambil inisiatif menghasilkan susu getah lateks dengan menerima pulangan lebih tinggi.
"Saya berharap inisiatif dilaksanakan koperasi tersebut dijadikan inspirasi kepada seluruh pekebun kecil di Kedah bagi meningkatkan pendapatan.
"Lebihan lateks yang menjadi sekerap boleh dijual buat kali kedua. Jadi pendapatan boleh meningkat mencecah 50 peratus," katanya.
Setakat ini katanya, harga semasa bagi lateks mencecah RM4.90 sekilogram dengan paras harga pengaktifan Insentif Pengeluaran Getah (IPG) tambahan RM0.90 berbanding harga sekerap mencecah RM1.90 sekilogram atau boleh diaktifkan IPG kepada RM2.50 sekilogram.
Dalam pada itu katanya, Bantuan Musim Tengkujuh yang diumumkan kerajaan bakal dinikmati dan penoreh yang memenuhi syarat boleh membuat pengesahan di kaunter Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dalam masa terdekat.
"Bagaimanapun, saya berharap ada inisiatif lain yang diusahakan bagi menjana pendapatan pekebun kecil sempena musim tengkujuh memandangkan kekangan untuk menoreh pada musim berkenaan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!