KUALA TERENGGANU - Seorang pesalah lelaki merayu sambil menangis teresak-esak di Mahkamah Sesyen di sini hari ini untuk bertemu dan meminta maaf kepada mangsa perlakuan amang seksualnya. Muhammad Firdaus Wong Abdullah, 44, berulang kali mengucapkan kata-kata maaf kepada mangsa dan ibu mangsa atas kesalahan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak perempuan Zara (bukan nama sebenar) berusia tujuh tahun pada Februari lalu. "Apa aku dah buat ni? Maafkan saya Zara, nak jumpa Zara, nak minta maaf dengan dia," katanya. Rayuan itu dibuat sebelum Hakim Nooriah Osman menjatuhkan hukuman tujuh tahun penjara dan empat sebatan terhadap kes yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Zulfazliah Mahmud. Muhammad Firdaus turut diperintah diletakkan di bawah pengawasan polis selama setahun selepas tamat hukuman penjara kelak. Kesemua hukuman itu dijatuhi ke atasnya selepas mengaku bersalah melakukan amang seksual terhadap mangsa yang juga anak kenalannya di sebuah rumah di Batu Burok di sini antara jam 8.30 malam dan 10.30 malam pada 6 Februari lalu. Dia didakwa mengikut Seksyen 14(b) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual 2017 terhadap Kanak-Kanak yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan. Tertuduh, sebelum ini turut berdepan tiga pertuduhan iaitu merogol kanak-kanak itu di rumah sama antara jam 8.30 malam hingga 10 malam tahun lalu selain dua pertuduhan meliwat mangsa tahun lalu serta meliwat adik lelaki mangsa berusia 5 tahun pada 6 Februari lalu. Bagaimanapun, dia mengekalkan pengakuan tidak bersalah dan mohon dibicarakan bagi ketiga-tiga pertuduhan berkenaan. Mahkamah kemudian menetapkan 12 November ini sebagai tarikh sebutan semula untuk serahan dokumen dan lantikan peguam. Sinar Harian sebelum ini melaporkan seorang lelaki dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sini atas empat pertuduhan melakukan kesalahan seksual terhadap dua kanak-kanak masing-masing berusia 5 dan 7 tahun yang merupakan anak kenalannya. ARTIKEL BERKAITAN: Lelaki didakwa rogol, liwat dua kanak-kanak