Kelantan kecewa 5 projek besar tiada dalam Belanjawan 2020

Mohd Amar Nik Abdullah
Mohd Amar Nik Abdullah
A
A
A

KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan kecewa apabila lima projek besar yang diumumkan di negeri ini tidak termasuk dalam pembentangan Belanjawan 2020 baru-baru ini.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, pihaknya amat berharap ia turut termasuk dalam isi kandungan belanjawan tahun depan, namun mengecewakan apabila ia langsung tidak disebut secara jelas.

“Kita tidak tahu nak kata apa. Tiada komen. Cuma kita kecewalah, kita harap sekurang-kurangnya lima projek besar itu termasuklah juga. Sebab secara dasarnya, kalau tiada bajet, bagaimana kita mahu teruskan dengan rancangan tersebut.

“Kalau peruntukan yang diperlukan itu sedikit, mungkin kita boleh usahakan caranya,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim di sini hari ini.

Sebelum ini Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengumumkan Kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan tambahan RM200 juta untuk pembangunan negeri itu.

Menerusi peruntukan itu, lima projek pembangunan untuk rakyat di Kelantan diluluskan pada mesyuarat Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada 4 Mac lalu.

Lima projek tersebut adalah projek Lebuhraya Pantai Timur Fasa 3 (LPT3), menaik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), laluan baharu Pasir Puteh - Machang - Jeli, Lebuhraya Kota Bharu - Kuala Krai dan Jambatan Palekbang - Kota Bharu.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, ketika diminta mengulas mengenai tindakan Datuk Md Alwi Che Ahmad yang melepaskan jawatan sebagai Ketua Pembangkang DUN Kelantan hari ini, beliau berkata, BN masih lagi pembangkang dalam DUN Kelantan namun pembangkang yang mesra kerajaan.

Artikel Berkaitan:

“Mereka ini adalah pembangkang yang mesra kerajaan. Secara teknikalnya mereka masih pembangkang, dan kita dalam dewan pun kita memerlukan teguran.

"Bukan kata kita mahu orang lain sokong kita seratus peratus. Peranan pengkritik ini penting. Kerajaan tetap perlu teguran dan kritikan supaya ada pandangan yang berbeza,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!