Hampir 60 peratus siswazah menganggur selepas setahun habis belajar

Dr Maszlee Malik
Dr Maszlee Malik
A
A
A
KUALA LUMPUR - Hampir 60 peratus siswazah peringkat pengajian Ijazah Pertama dan ke atas masih menganggur selepas setahun menamatkan pengajian mereka.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, fakta tersebut adalah berdasarkan dapatan daripada Sistem Kajian Pengesanan Graduan (SKPG) Tahun 2018 Kementerian Pendidikan (KPM).

"Bilangan graduan belum bekerja selepas satu tahun tamat pengajian bagi peringkat pengajian Ijazah Pertama dan ke atas adalah 30,765 orang atau 59.9 peratus daripada 51,365 graduan yang belum bekerja," katanya dalam jawapan bertulis yang dipaparkan dalam laman web Parlimen di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (BN-Bagan Datoh) yang ingin tahu berapa jumlah graduan lepasan ijazah yang dikesan masih menganggur dan apakah langkah telah diambil oleh pihak kementerian untuk menangani lambakan graduan menganggur itu.

Sehubungan itu Maszlee berkata, KPM melaksanakan saringan awal ketat terhadap program yang hendak ditawarkan oleh universiti awam (UA).

Beliau berkata, pihak UA perlu menjalankan kajian analisis yang terperinci, termasuk kajian pasaran terhadap program akademik yang hendak ditawar, dijumud, dibeku atau dilupuskan.

Program akademik ditawarkan, katanya juga perlu mengambil kira keperluan guna tenaga dan bidang kritikal yang telah dikaji dan dibentangkan oleh pihak Jabatan Perkhidmatan Awam, Jabatan Perangkaan Malaysia, Institut Maklumat dan Analisis Pasaran Buruh (ILMIA), Talentcorp, Jobstreet dan agensi berkaitan yang turut hadir dalam mesyuarat saringan awal dan perakuan program.

Menjawab soalan Datuk Ahmad Jazlan Yaakub (BN-Machang) mengenai perancangan sebenar ingin dilakukan pihak kementerian terhadap 21 Institut Pendidikan Guru (IPG) yang dikatakan akan ditutup, Maszlee berkata, sebuah jawatankuasa khas sedang dibentuk bagi meneliti perancangan khusus dan hala tuju IPG.

"Kesemua 27 IPG di seluruh negara dikekalkan bagi melaksana fungsi latihan perguruan serta latihan pembangunan profesionalisme guru dalam perkhidmatan," katanya. - Bernama
Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!