Isteri Ketua Menteri terkejut petugas media dihalang
MELAKA TENGAH - Program ziarah isteri Ketua Menteri, Dalilah Awaludin ke rumah ibu mangsa dikerat lapan bertukar kecoh apabila seorang individu mendakwa sebagai wakil Majlis Perwakilan Komuniti Kampung (MPKK) menghalang petugas media untuk membuat liputan.
Dalam kejadian tersebut, individu terbabit secara tiba-tiba melulu ke arah Dalilah sambil mengakui dirinya pengerusi MPKK dan tidak membenarkan media membuat sebarang liputan selain mengeluarkan kenyataan amaran yang agak kasar.
Dalilah berkata, dia terkejut dengan tindakan individu itu dan tidak menyangka perkara itu berlaku sedangkan niat utamanya datang bagi mewakili Badan Kebajikan Amal Isteri Wakil-wakil Rakyat Pakatan Harapan Melaka (Harwanis) untuk memberi sokongan kepada keluarga mangsa.
"Kita maklum dengan kesedihan yang terpaksa dilalui keluarga mangsa dan ketika masuk, nenek mangsa menangis dan kita memberi kata-kata semangat bagi menghilangkan rasa tertekan.
"Kami juga dimaklumkan oleh individu MPKK itu bahawa mayat mangsa tidak akan dikebumikan pada waktu terdekat ini sehingga kes ini diselesaikan," katanya ketika sidang media selepas menziarahi keluarga mangsa di Rumah Pangsa Pegaga, Taman Merdeka, Batu Berendam, di sini hari ini.
Beliau berkata, Harwanis bersedia membantu dan menghulurkan sebarang pertolongan sekiranya diperlukan oleh keluarga mangsa termasuk kos pengebumian kelak.
Terdahulu, Harwanis menjemput pihak media untuk membuat liputan berhubung pertemuan tersebut dan dalam pertemuannya itu, Dalilah turut menghulurkan sumbangan wang tunai serta barangan keperluan harian.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kesidang, Alex Seah Shoo Chin mewakili individu itu memohon maaf dengan perbuatan tersebut yang disifatkan tidak sepatutnya berlaku terhadap petugas media.
Difahamkan, individu tersebut dalam proses untuk dilantik sebagai pengerusi MPKK.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!