Indonesia pilih McKinsey untuk kaji pelan pindah ibu negara
JAKARTA - Firma pengurusan perunding McKinsey & Company berpusat di Amerika Syarikat telah dilantik untuk melakukan kajian terhadap kebolehlaksanaan berhubung rancangan pemindahan ibu negara di Jakarta yang berisiko tenggelam ke Borneo.
Timbalan untuk Pembangunan Wilayah di Kementerian Perancangan, Rudy Soeprihadi berkata, McKinsey Indonesia akan menjalankan kajian awal terhadap pelbagai isu termasuk impak kepada sosial, budaya, alam sekitar dan ekonomi.
"Mereka bukan mula dari awal memandangkan kami sendiri telah lakukan banyak kajian. Mereka akan menentukan strategi akan datang dan kerana itulah kami mencari perunding kelas dunia," ujarnya.
Kajian selama tiga bulan itu juga akan menilai pembiayaan yang diperlukan dengan lebih terperinci dan bagaimana ibu negara baharu tersebut akan dihubungkan dengan bandar berhampiran sedia ada di Balikpapan dan Samarinda.
Difahamkan, pemilihan McKinsey dibuat selepas kerajaan membuka tender AS$1.77 juta (RM7.41 juta) yang diumumkan menerusi laman web kerajaan dan turut menarik minat 103 calon termasuk Roland Berger dan Boston Consulting.
Kerajaan mempunyai kawasan seluas 3,000 hektar di wilayah tersebut untuk pembangunan peringkat pertama.
Anggaran kos pemindahan itu adalah kira-kira AS$3 bilion (RM12.5 bilion) termasuk pembinaan pejabat kerajaan dan unit perumahan untuk 1.5 juta kakitangan awal yang dijangka berpindah menjelang 2024.
Ogos lalu, Presiden Joko Widodo atau Jokowi mengumumkan lokasi ibu negara baharu di wilayah Kalimantan Timur dan turut mencetuskan pelbagai persoalan banyak pihak tentang pelbagai isu termasuk impak pembangunan itu terhadap alam sekitar. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!