Sabah bimbang penutupan sementara visa dalam talian
KOTA KINABALU - Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Christina Liew akan membawa isu penutupan sementara kemudahan permohonan visa dalam talian (eNTRI) untuk pelancong China mulai 1 Januari 2019 ke mesyuarat Kabinet negeri.
"Saya bimbang kerana Tahun Baru Cina tidak lama lagi dan ramai pelancong dari China akan melawat Sabah. Penutupan permohonan visa sehingga pengumuman seterusnya akan memberi kesan kepada jumlah pelancong yang datang ke Sabah," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian sumbangan barangan keperluan asas kepada sekolah-sekolah Tahfiz dan Masjid Usia, di sini hari ini.
Liew yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah berharap kabinet dapat menyelesaikan perkara tersebut.
"Kita bekerja keras menarik pelancong datang ke sini tetapi permohonan visa dalam talian pula ditutup," katanya.
Baru-baru ini, permohonan eNTRI ditutup buat sementara waktu bermula 1 Januari sehingga pengumuman seterusnya.
Sementara itu, Liew berkata Sabah juga akan membincangkan dalam mesyuarat Kabinet mengenai larangan merokok di restoran seperti diumumkan kerajaan persekutuan, yang berkuat kuasa pada 1 Januari.
"Kita tunggu mesyuarat Kabinet dan baru kita tahu," kata Liew. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!