Ekonomi Malaysia hancur bawah BN?
SHAH ALAM - Meskipun propaganda ekonomi Malaysia hancur di bawah pemerintahan kerajaan BN sering dimainkan, namun fakta dan data menunjukkan sebaliknya.
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, indeks saham menunjukkan trend peningkatan dari 800 mata pada 2008 hingga mencatat indeks paling tinggi dalam sejarah, iaitu 1,895.18 mata sebelum PRU14.
Malah katanya, ia juga adalah tempoh lonjakan Bursa Malaysia paling lama di dalam sejarah Malaysia.
"Ramai yang tidak tahu bahawa Bursa Malaysia merupakan pasaran saham dengan tempoh lonjakan saham paling lama di dunia iaitu 'world's longest running bull market'.
"Selain prestasi kadar pertumbuhan ekonomi Malaysia yang baik berbanding negara jiran dan negara-negara 'harimau' Asia yang saya kongsikan tempoh hari, prestasi Bursa Malaysia ini juga merupakan satu lagi bukti bahawa ekonomi negara dijaga baik semasa di bawah kerajaan BN dahulu," katanya menerusi Facebook miliknya hari ini.
Najib turut memuat naik graf lonjakan saham bermula 2008 hingga tahun lalu yang menunjukkan trend kenaikan.
Berdasarkan data itu, Najib menyelar kerajaan PH pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad kerana tiada asas kukuh menyatakan ekonomi Malaysia hancur di bawah pentadbiran BN sebelum ini.
"Saya nak tanya mereka yang sebelum ini pernah percaya manifesto bukan Kitab itu: 'Jika ekonomi negara hancur, bagaimana pula boleh berlakunya prestasi Bursa Malaysia dan pertumbuhan ekonomi yang baik seperti dilapor oleh Bank Dunia?'," soalnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!