Mustapa tiada masalah bergelar pembangkang tunggal di Kelantan
SHAH ALAM - Bergelar pembangkang tunggal di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan tidak memberi sebarang masalah kepada ADUN Ayer Lanas, Datuk Seri Mustapa Mohamed.
Beliau berkata, peletakan jawatan ADUN Kok Lanas, Datuk Md Alwi Che Ahmad sebagai ketua pembangkang di DUN berkenaan bukan perkara mengejutkan kerana beliau sedia maklum mengenai Muafakat Nasional antara UMNO dan Pas.
Menurutnya, Kelantan bukan kubu kuat Pakatan Harapan (PH) berbanding di negeri pantai barat, Sabah dan Sarawak.
“Tak ada masalah. Kita politik matang yang penting kita bekerja untuk rakyat dan negara dan bahas dengan tertib.
“Kita dah nak menuju 2020. Kita kena sebarkan kematangan politik. Jika itu landasan kita, tak ada ada masalah. Mana yang tak betul kita tegur, mana yang baik kita sokong.
“Bagi saya semua kawan-kawan saya dah lama dalam politik sama ada Pas atau UMNO. Kalau pembentangan usul oleh saya tidak menerima sokongan mereka, itu prinsip demokrasi,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas hadir selaku panelis program Wacana Sinar Harian Siri 134 bertajuk Pasca Belanjawan 2020: Siapa Untung, Siapa Rugi? di Dewan Karangkraf di sini hari ini.
Md Alwi mengumumkan peletakan jawatan sebagai ketua pembangkang ketika membahaskan Belanjawan Kelantan 2020 di Kompleks Kota Darul Naim hari ini.
Menurut beliau, DUN Kelantan terdiri daripada 45 orang ADUN termasuk pembangkang dari BN seramai tujuh orang dan seorang PH.
"Tetapi ingin saya sampaikan untuk masuk dalam hansard, mulai hari ini selepas Muafakat Nasional, sebenarnya Kelantan sudah tidak ada ketua pembangkang kerana saya meletakkan jawatan sebagai ketua pembangkang dan kami semua (wakil rakyat BN) adalah penyokong kerajaan (negeri)," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!