[VIDEO] Bapa buta huruf rayu tiga anak dapat ke sekolah

Sardik berharap JPN dapat membantu mendapatkan sijil kelahiran untuk tiga anaknya
Sardik berharap JPN dapat membantu mendapatkan sijil kelahiran untuk tiga anaknya
A
A
A

PUCHONG - Bimbang dengan masa depan tiga anaknya, seorang bapa memohon Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) memudahkan urusan mendapatkan sijil kelahiran anak-anaknya bagi membolehkan mereka bersekolah seperti kanak-kanak lain.

Sardik Tambakau, 43, berkata, dia berkahwin dengan seorang wanita warga Indonesia bernama Lia Rosli, 31, pada tahun 2008 di USJ, Subang Jaya, namun perkahwinannya tidak mengikut prosedur dan undang-undang perkahwinan di negara ini menyebabkan tiada surat nikah rasmi diperoleh.

Menurutnya, masalah timbul apabila isterinya menghilangkan diri pada Februari lalu dan gagal dihubungi sehingga kini.

“Selepas berkahwin 11 tahun lalu saya ada ajak isteri untuk uruskan dokumennya kerana dia ‘kosong’ (tiada dokumen perjalanan yang sah) dan tidak ada apa-apa dokumen pengenalan diri selepas melarikan diri ketika bekerja dengan majikan di Johor.

“Namun hingga dikurniakan tiga anak, isteri enggan jalani proses berkaitan termasuk bagi membolehkan dia pulang ke negara asal,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di rumahnya di Kampung Kenangan Batu 13, di sini.

Sardik mengakui kesilapannya berkahwin dengan cara tidak sah di negara ini, namun dia tidak mahu anak-anaknya menjadi mangsa akibat kesilapan dilakukan sebelum ini.

Menurutnya, anaknya perlu mempunyai dokumen pengenalan diri bagi membolehkan mereka bersekolah seperti rakan sebaya yang lain.

“Anak saya Sanny Dharmawan, 12; Andika, 11 dan Zahrah, 6 semua lahir di negara ini. Disebabkan tiada apa-apa dokumen mereka tidak dapat ke sekolah dan hanya duduk di rumah.

Artikel Berkaitan:

“Saya buntu tak tahu nak buat apa, sebelum ini pernah pergi ke JPN, pihak itu minta surat nikah tapi saya tak ada. Mereka kemudian bagi macam-macam borang namun disebabkan buta huruf dan tidak tahu menulis, saya tak mampu buat apa-apa,” katanya.

Sardik berkata, sebelum ini dia dan isteri pernah bercadang supaya isterinya membawa ketiga-tiga anaknya ke Indonesia kerana isterinya enggan melakukan proses permohonan dokumen mengikut prosedur di negara ini.

"Isteri bersetuju dengan cadangan ini dan sepatutnya kesemua mereka ke Indonesia Mac tahun lalu tapi pada 16 Februari lalu, isteri hilangkan diri dan hantar pesanan WhatsApp supaya saya tak mencarinya lagi.

“Masa hari raya baru-baru ini, saya ingatkan dia akan balik ke rumah kami. Anak-anak siap tunggu di depan pintu rumah pada jam 5 pagi tapi dia tak juga balik-balik,” katanya.

Paling menyedihkan katanya, apabila isterinya membawa lari wang simpanan sebanyak RM45,000 malah tergamak mengambil semua wang anak-anaknya.

Sardik yang juga mualaf dan selepas memeluk Islam pada tahun 1995 berkata, dia menyesal mempercayai isterinya itu dan tindakan wanita itu menyebabkan anak-anaknya tidak dapat bersekolah.

“Saya silap sebab percaya dia (isteri), dah lah bawa lari semua duit hingga menyebabkan sebulan lepas tu saya dan anak-anak terpaksa makan nasi kosong berlaukkan bawang merah dan perahan asam limau saja sebab tak ada duit yang tinggal.

“Sekarang anak saya bukan saja tak boleh sekolah tapi saya pun tak boleh bawa mereka balik ke kampung halaman di Kota Belud, Sabah kerana tiada dokumen pengenalan diri,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!