Vape: Peniaga perlu ada rasa tanggungjawab
DULU rokok, sekarang vape, selepas ini apa pula? Adakah ini trend semasa atau anak-anak keliru lalu terpengaruh dengan rokok elektronik atau adakah ibu bapa yang tidak ambil kisah?
Julai lalu, masyarakat dikejutkan dengan foto seorang murid perempuan berpakaian sekolah sedang menghisap vape di perhentian bas.
Foto itu tular di media sosial. Di bandar-bandar besar, situasi seperti itu mungkin bukan lagi satu perkara pelik tetapi apakah kejelikan seperti itu yang kita mahu banggakan?
Kelmarin, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad pula mendedahkan kira-kira 300,000 pelajar sekolah di seluruh negara terjebak dengan penggunaan rokok elektronik atau vape.
Lebih mengejutkan, 50,000 daripada jumlah itu adalah pelajar perempuan! Satu jumlah perlu dipandang serius oleh semua pihak.
Kenapa ia berlaku? Adakah salah ibu bapa yang membiarkan atau ketamakan pihak-pihak pengeluar dan peniaga vape atau ketidaktegasan kerajaan dalam membendung penjualan rokok elektronik ini dalam kalangan pelajar sekolah?
Sistem kekeluargaan yang longgar dan pincang antara punca yang boleh dikaitkan dengan faktor gejala tidak sihat berlaku dalam kalangan anak-anak. Di sekolah mereka ditekankan tentang bahaya rokok dan vape tetapi di rumah mereka melihat bapa, abang atau ahli keluarga lain yang mempunyai tabiat ini.
Kementerian pada 27 Jun lalu menubuhkan Jawatankuasa Khas bagi mengawal penggunaan rokok elektronik termasuk larangan penjualan alat tersebut kepada pelajar sekolah di bawah 18 tahun.
Difahamkan, di pihak Kementerian Kesihatan, penguatkuasaan larangan penjualan rokok elektronik ini masih dalam peringkat perbincangan.
Kajian bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berkaitan akta baharu vape juga masih dalam semakan Jabatan Peguam Negara.
Meskipun isu ini masih dalam semakan dan kajian, apakah tanggungjawab sosial yang dilakukan oleh pemain industri khususnya golongan peniaga?
Jangan hanya memikirkan keuntungan semata-mata sehingga mengabaikan peranan anda dalam memastikan generasi akan datang generasi yang sihat dari segi moral dan fizikal.
Buruk atau baik, anda antara penyumbangnya!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!