Tambang kapal terbang murah antara fokus Dewan Rakyat hari ini
KUALA LUMPUR - Langkah kerajaan untuk menggalakkan penerbangan tambang murah sama ada daripada syarikat tempatan atau antarabangsa supaya rakyat Malaysia boleh menikmati tambang kapal terbang lebih ekonomik dijangka mencuri tumpuan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Dalam aturan mesyuarat yang dikeluarkan laman web Parlimen, perkara itu dibangkitkan Wong Hon Wai (PH-Bukit Bendera) pada soalan pertama sesi soal jawab lisan untuk dijelaskan Kementerian Pengangkutan.
Tidak kurang menariknya soalan daripada Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (Pas-Kubang Kerian) yang meminta Kementerian Hal Ehwal Ekonomi menyatakan kedudukan semasa kadar kemiskinan di Malaysia.
Turut mencuri tumpuan adalah soalan Datuk Seri Ir Dr Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) yang meminta penjelasan kementerian sama berkaitan pecahan jumlah aset negara yang telah dijual.
Sesi tersebut yang dijangka berakhir kira-kira 12 tengah hari pula bersambung kepada perbahasan berkaitan Rang Undang-Undang Perbekalan 2020 berkenaan Belanjawan 2020 yang masuk hari ketiga selepas membuka tirainya Isnin lalu
Sesi persidangan Dewan Rakyat kali ini dijadual berlangsung sehingga 5 Disember. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!