RM13,999 duit simpanan guru wanita lesap
KUANTAN - Tindakan seorang guru wanita berkongsi nombor MyKad dengan individu tidak dikenali membawa padah apabila wang simpanannya dipindahkan ke akaun lain tanpa kebenaran.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa yang berusia 40 tahun mendakwa kerugian hampir RM13,999 dalam kejadian yang berlaku semalam.
Beliau berkata, mangsa mendakwa dihubungi suspek lelaki jam 10 pagi kononnya mewakili bank yang ingin mendapatkan pengesahan bagi tujuan permohonan kad kredit dibuat mangsa.
"Mangsa menafikan ada membuat permohonan menyebabkan suspek meminta nombor MyKad mangsa supaya dia dapat membatalkan permohonan itu dan mangsa terus memberi maklumat tersebut.
"Bagaimanapun beberapa minit kemudian mangsa menerima notifikasi di telefon pintarnya mendakwa berlaku pemindahan wang sebanyak dua kali dari akaun banknya ke akaun tidak dikenali," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Curiga dengan transaksi itu mangsa segera menghubungi pihak bank bagi menyekat transaksi keluar wang simpanannya dan membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lipis dekat sini.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!