Calon Bersatu PRK Tanjung Piai diumum minggu depan: Muhyiddin
PUTRAJAYA - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dijangka mengumumkan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, Johor minggu hadapan.
Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, satu program untuk memperkenalkan calon Pakatan Harapan (PH) akan dibuat sebelum tarikh penamaan calon.
"Saya sebagai Pengerusi PH dan Pengarah Pilihan Raya Negeri akan mengumumkannya," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan majlis Sambutan Hari Pendaftaran Negara di Ibu Pejabat Jabatan Pendaftaran Negara di sini hari ini.
Menurutnya, PH akan mempertaruhkan calon sesuai untuk mengekalkan kemenangan di kerusi tersebut.
"Insya-ALLAH kita akan dapatkan tokoh dan calon agak baik sesuai untuk Tanjung Piai," katanya.
Suruhanjaya Pilihanraya Raya (SPR) menetapkan penamaan calon PRK Tanjung Piai pada 2 November manakala pilihan raya berlangsung 16 November depan.
PRK Tanjung Piai akan diadakan susulan kematian penyandang kerusi itu, Allahyarham Datuk Dr Md Farid Md Rafik, 42, akibat serangan jantung pada 21 September lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!