'Raja Muda Bunian' mengamuk tak mahu ke Hospital Permai

No Image Caption
A
A
A

KUALA TERENGGANU - 'Raja Muda Bunian' yang dipercayai mengamalkan ritual aneh meragukan mengamuk dengan bertindak agresif kerana tidak mahu ke Hospital Permai, Johor Bharu semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang, lelaki yang menggelarkan dirinya 'Raja Muda Abdul Aziz' bertindak memecahkan harta benda termasuk kenderaan penduduk berhampiran di Surau Taman Rimba Bukit Bauk, Dungun.

Menurut sumber, lelaki berusia 33 tahun itu bertindak sedemikian sejurus dimaklumkan penguatkuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) yang dia akan dibawa mendapatkan rawatan kesihatan di hospital berkenaan.

"Kira-kira jam 8 pagi, empat anggota penguatkuasa ke surau berkenaan yang dijadikan tempat tinggalnya sebelum memaklumkan yang hendak membawanya ke hospital bagi mendapatkan rawatan.

"Tetapi dia terus melarikan diri masuk ke dalam kawasan hutan berhampiran namun datang semula setengah jam kemudian, sebelum memberitahu dia sudah mendapatkan kebenaran pembesar 'jin' untuk ke hospital.

"Bagaimanapun semasa dalam perjalanan ke Pejabat Agama daerah Dungun dia secara tiba-tiba mengamuk sebelum keluar daripada kereta dan melarikan diri masuk ke dalam hutan sama berhampiran surau yang dihias umpama istana itu," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini

Lelaki ini ditahan di Surau Taman Rimba Bukit Bauk, di sini, kerana dipercayai mengamalkan ritual aneh yang meragukan dan menghias surau berkenaan umpama istananya.
Lelaki ini ditahan di Surau Taman Rimba Bukit Bauk, di sini, kerana dipercayai mengamalkan ritual aneh yang meragukan dan menghias surau berkenaan umpama istananya.

Sumber berkata, kemudian kira-kira jam 3 petang, sekali lagi penguatkuasa bertugas datang ke surau tersebut selepas memberi masa agar dia lebih bertenang memandangkan keadaan emosinya dilihat sangat terganggu.

Artikel Berkaitan:

"Meskipun dipujuk agar ke hospital untuk rawatan, lelaki itu masih berdegil tidak mahu memberi kerjasama dengan alasan pembesar 'jin' marah dan tidak izinkan.

"Beberapa minit kemudian dia bertindak agresif dengan mengamuk dan memecahkan semua harta benda termasuk kenderaan penduduk berhampiran sehingga terpaksa menghubungi polis untuk mendapatkan bantuan," katanya.

Sementara itu, Pesuruhjaya JHEAT, Md Azmi Arsyad yang dihubungi Sinar Harian hari ini mengesahkan kejadian sebelum memaklumkan lelaki berkenaan selamat dihantar ke hospital berkenaan kira-kira jam 9 malam.

Dalam perkembangan sama Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah mengesahkan tangkapan lelaki dari Jalan Tanjong Jara, Seberang Pintasan, Dungun kira-kira jam 6.05 petang.

"Bagaimanapun lelaki itu diserahkan kepada pihak JHEAT untuk tindakan lanjut," katanya.

Sinar Harian sebelum ini ada melaporkan 'Raja Muda Bunian' yang mengamalkan ritual aneh ditahan.

Dia akan didakwa di bawah kesalahan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 iaitu di bawah Seksyen 6 (b) yang berkaitan dengan dakwaan palsu.

Jika disabitkan kesalahan, dia boleh dikenakan hukuman denda RM5,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya sekali.

ARTIKEL BERKAITAN 'Raja Muda' amal ritual aneh ditahan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!