Bertuahnya berduet dengan Permaisuri Agong
KUALA LUMPUR - Gementar namun gembira, itu perasaan seorang pelajar Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih (SBJK) yang disapa Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Iskandariah pada Festival Kesenian Kebudayaan Kemahiran dan Keusahawanan Pendidikan Khas di Kompleks Kraf di sini hari ini.
Aneesya Ramadani Atuni, 13, berkata, dia tidak menyangka dapat berduet bersama Tunku Azizah ketika sedang membuat persembahan buskers bersama kumpulannya.
"Cikgu maklumkan pada hari ini ada kunjungan daripada Permaisuri Agong tapi saya tak sangka pula dapat menyanyi lagu Bossanova bersama tuanku.
"Sangat bersyukur dan gembira, sebelum ini hanya dapat melihat wajah jelita permaisuri dalam TV tapi hari ini dapat bertentang mata, bersalam dan nyanyi bersama," katanya.
Tunku Azizah meluangkan masa lebih dua jam menghadiri Festival Kesenian Kebudayaan Kemahiran dan Keusahawanan Pendidikan Khas anjuran Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) selama tiga hari.
Hadir sama, Timbalan Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh dan Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Maznah Abu Bakar.
Sementara itu, Maznah berkata, seramai 293 murid pendidikan khas di 53 sekolah terlibat dalam program dwitahunan yang menyediakan 11 acara untuk dipertandingkan sepanjang festival.
"Pertandingan itu antaranya gubahan sireh junjung, hiasan pulut kuning, masakan tradisional tempatan, gubahan kitar semula bunga telur dan nyanyian
"Pertandingan ini bukan sekadar mencungkil bakat peserta malah kemahiran ini dapat digunakan dalam kehidupan seharian. Ia juga langkah memberikan pendedahan kesenian serta kebudayaan kepada masyarakat," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!