Ular sawa baham kambing ditangkap

Ular sawa ditangkap selepas menelan seekor kambing dalam kejadian tersebut
Ular sawa ditangkap selepas menelan seekor kambing dalam kejadian tersebut
A
A
A

BATU PAHAT - Seekor ular sawa yang sedang membaham seekor kambing ditangkap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Johor dalam satu kejadian di Kampung Muhibah, Perserai di sini pagi tadi.

Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Pahat, Pegawai Bomba Kanan II Ridwan Gembur berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9 pagi sebelum bergegas ke lokasi kejadian.

“Kejadian berlaku di sebuah kandang kambing yang terdapat seekor ular sawa sepanjang 5.49 meter sedang menelan seekor kambing dianggarkan seberat 30kg.

"Bomba mengalami kesukaran untuk menangkap ular ini berikutan penjerut digunakan tidak muat untuk menjerut ular tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, bomba hanya berjaya menangkap ular kira-kira 25 minit kemudian iaitu selepas reptilia itu mengeluarkan bangkai kambing yang ditelan.

“Ular ini kemudiannya dibawa ke balai sebelum diserahkan kepada pihak berkaitan untuk tindakan selanjutnya. Operasi tamat pada jam 9.45 pagi,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!