PBB lulus deklarasi pembangunan mampan
NEW YORK - Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam mengesahkan deklarasi mengenai pembangunan mampan yang diterima pakai pemimpin dunia pada Debat Umum di perhimpunan agung baru-baru ini, lapor agensi berita Xinhua.
Deklarasi itu diterima pakai di forum peringkat tinggi mengenai pembangunan mampan yang berlangsung pada 24 hingga 25 September menyaksikan pemimpin dunia bertekad untuk mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) menjelang 2030.
Pemimpin dunia berikrar menggerakkan pembiayaan, meningkatkan pelaksanaan dan mengukuhkan institusi untuk mencapai SDG tanpa membiarkan sesiapapun ketinggalan.
Antara yang terkandung dalam deklarasi itu, mulai sekarang dan 2030 negara anggota berikrar membanteras kemiskinan dan kebuluran, mewujudkan masyarakat yang harmoni, menghormati serta melindungi hak asasi manusia dan kesaksamaan jantina.
"Kami juga tetap bertekad mewujudkan pertumbuhan ekonomi yang mampan dan inklusif, berkongsi kemakmuran dengan semua, dengan mengambil kira pembangunan dan kapasiti negara yang berbeza," menurut deklarasi itu.
Pemimpin dunia turut menyuarakan komitmen untuk menyediakan pendidikan yang inklusif dan saksama, liputan dan penjagaan kesihatan sejagat berkualiti, keselamatan makanan dan pemakanan lebih baik, bekalan air minum yang selamat serta infrastruktur berdaya tahan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!