70 peratus daripada 117 pemandu e-hailing belum selesai mohon PSV
SEREMBAN - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan mendapati sebanyak 70 peratus daripada 117 kenderaan pemandu perkhidmatan e-hailing yang diperiksa masih belum menyelesaikan proses permohonan lesen Kenderaan Pengangkutan Awam (PSV).
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan, Azrin Borhan berkata, jumlah itu diperoleh menerusi penguatkuasaan secara advokasi yang telah dijalankan sejak Julai hingga bulan ini.
“Jika diikutkan proses permohonan ini tidaklah sukar tetapi mungkin pemahaman terhadap proses-proses yang perlu dilakukan itu yang membuatkan proses permohonan tidak dapat diselesaikan.
“Penerangan mengenainya (proses permohonan PSV) sebenarnya telah pun dilaksanakan sebelum ini cuma ianya mungkin perlu diperhebatkan lagi dalam membentuk pemahaman pemandu e-hailing sekali gus memudahkan proses permohonan,” katanya dalam sidang media lelongan awam kenderaan sita JPJ di sini hari ini.
Mengulas lanjut Azrin berkata, penguatkuasaan e-hailing JPJ Negeri Sembilan ketika ini masih menggunakan pendekatan advokasi atau menyantuni.
“Jadi mereka yang didapati masih tidak mempunyai lesen PSV ini kita nasihatkan agar mereka segera mendapatkannya... kebanyakannya sudah berdaftar tetapi prosesnya sahaja yang belum lengkap,” katanya.
Tempoh penguatkuasaan secara advokasi itu bergantung kepada arahan ibu pejabat JPJ.
Minggu lepas Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, pemandu e-hailing yang sedang dalam proses melengkapkan peraturan akan dipertimbangkan daripada dikenakan tindakan undang-undang susulan penguatkuasaan peraturan e-hailing pada 12 Oktober lalu. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!