Kelantan boleh saman Petronas semula jika tidak dapat royalti

Takiyuddin Hassan
Takiyuddin Hassan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kelantan mempunyai hak untuk mengemukakan saman baharu terhadap Petroliam Nasional Berhad (Petronas) sekiranya tuntutan mereka berkaitan royalti minyak tidak diberikan kepada negeri tersebut.

Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, selepas saman Kelantan terhadap Petronas sebelum ini ditarik balik, pembayaran royalti seperti yang termaktub dalam perjanjian sepatutnya diteruskan.

“(Sebelum ini) Kelantan tarik balik (saman) atas jaminan kerajaan pusat akan bayar (royalti minyak). Tapi kalau royalti tak dibayar seperti dijanjikan, kerajaan negeri mempunyai hak untuk saman semula.

“Maksud saya, (kalau) nak saman, boleh, sebab ia masih berterusan untuk 2019 sehingga 2020," katanya ketika ditemui media di lobi Parlimen hari ini.

Tambahnya, Petronas perlu menyatakan berapa hasil diperoleh mereka dari telaga minyak di Kelantan dan daripada jumlah itu, lima peratus perlu diberi kepada negeri tersebut.

“Kelantan tarik balik (saman sebelum ini sebab) janji atas jaminan nak bayar. Kita minta data kepada Petronas (sebab) kami percaya dah bagi kepada kerajaan.

“Jadi kerajaan kena bagi (data tersebut) pada kami. Kami nak tahu data. Kami nak tanya formula yang keluar RM28 bilion berbanding formula kami lebih RM1 bilion setahun,” katanya.

Tegas beliau, jika royalti boleh dibayar kepada Terengganu, Sabah dan Sarawak mengikut formula tertentu, hal yang sama juga perlu dibuat pada Kelantan.

Artikel Berkaitan:

Melalui writ saman difailkan pada 30 Ogos 2010, Kelantan menuntut Petronas membayar tunggakan dan pembayaran tunai masa depan bagi petroleum yang dikeluarkan di pesisir negeri itu seperti yang ditetapkan dalam perjanjian cari gali petroleum.

Begitupun pada 28 Jun lalu, pertikaian berhubung isu tuntutan royalti minyak membabitkan Kelantan dan kerajaan persekutuan selesai selepas negeri itu menarik balik tuntutan saman yang difailkan sembilan tahun lalu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!