Lapan premis perniagaan di zon pantai timur diiktiraf ZPT

Saifuddin (tiga dari kiri) menandatangani plak pengiktirafan ZPT pada program itu hari ini.
Saifuddin (tiga dari kiri) menandatangani plak pengiktirafan ZPT pada program itu hari ini.
A
A
A

KUANTAN - Sebanyak lapan premis perniagaan di zon pantai timur menerima pengiktirafan Program Zon Perdagangan Terpilih (ZPT) daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, premis itu menerima ZPT selepas memenuhi kriteria ditetapkan KPDNHEP dengan menjalankan perniagaan secara beretika melalui kaedah kawalan kendiri selaras dengan peraturan ditetapkan pihak kementerian.

Menurutnya, premis perniagaan berkenaan adalah tiga di Pahang iaitu Kuantan City Mall, East Coast Mall dan Giant Hypermarket manakala dua lagi di Kelantan iaitu Aeon Mall Kota Bharu dan G Orange Mall dan tiga di Kuala Terengganu iaitu, Paya Bunga Square, Giant Hypermarket serta Mydin Mall Gong Badak.

"Pengiktirafan itu diberikan kerana premis perniagaan yang menjalankan perniagaan secara beretika melalui kaedah kawalan kendiri selaras dengan peraturan dan perundangan yang dikuatkuasakan KPDNHEP serta dapat menjadi contoh kepada premis perniagaan yang lain," katanya pada sidang media di Kuantan City Mall hari ini.

Beliau sebelum itu merasmikan majlis penarafan zon perdagangan terpilih zon timur 2019 yang di hadiri Timbalan Ketua Setiausaha Kepenggunaan dan Pengurusan KPDNHEP.

Jelasnya, langkah ini sejajar dengan hasrat kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan dan syurga membeli belah dalam melonjakkan ekonomi negara serta penyertaan pelaburan asing di negara ini.

Dalam pada itu, Saifuddin berkata, program penarafan ini dilaksanakan di lima zon meliputi zon utara, tengah, selatan, timur dan borneo dengan penglibatan negeri di bawah Program ZTP.

Katanya, ia adalah sebagai satu pengiktirafan dan penghargaan kepada setiap kompleks atau zon atau perniagaan yang telah berjaya mencapai tahap pematuhan Key Perfomance Indicator (KPI) di bawah Program Penguatkuasaan Bestari (Smart Enforcement) bagi tahun 2019.

Artikel Berkaitan:

"Selain menerima sijil penghargaan dan plak penarafan, zon perniagaan ini akan menerima ganjaran lain berupa promosi ZPT sebagai destinasi membeli belah, menyenaraikan ZPT di dalam direktori pelancongan, program-program outreach di ZPT, memperbanyakkan premis perniagaan kedai harga patut di ZPT, menghebahkan ZPT dalam kalangan Rakan KPDNHEP dan disenaraikan di laman sesawang kementerian," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!