Bukan pukaulah!

 Gambar Mohd Noor Azly dan rakaman suara mendakwa dia pukau penduduk tular di media sosial.
Gambar Mohd Noor Azly dan rakaman suara mendakwa dia pukau penduduk tular di media sosial.
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang jurujual sebuah syarikat penapis air menafikan tuduhan cuba memukau penduduk di Kampung Kusal, Rantau Panjang semalam.

Mohd Noor Azly Mat Ruki, 28, berkata, tuduhan berkenaan disedari pada jam 9 malam sebaik diberitahu oleh seorang bahawa gambarnya ditularkan di media sosial bersama dakwaan itu.

Menceritakan kejadian itu, katanya, dia sebelum itu bersama dua rakan perempuan juga pengedar penapis air syarikat sama pergi ke kampung berkenaan untuk menjalankan kerja menyelenggara penapis air.

“Saya sampai ke salah sebuah rumah penduduk dan menawarkan perkhidmatan penyelenggaraan penapis air secara percuma namun seorang lelaki mengatakan pemilik tidak ada di rumah dan bertindak mengambil gambar saya.

“Mulanya saya berlalu tanpa mengesyaki apa-apa dan pergi ke rumah penduduk yang lain untuk menawarkan perkhidmatan sama.

“Ketika lalu semula di hadapan rumah penduduk itu saya nampak seorang wanita jadi berhenti sekali lagi untuk bertemu pemilik rumah itu,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.

Laporan polis oleh Mohd Noor Azly menafikan tuduhan yang boleh menjejaskan sumber pendapatannya sebagai jurujual syarikat penapis air.
Laporan polis oleh Mohd Noor Azly menafikan tuduhan yang boleh menjejaskan sumber pendapatannya sebagai jurujual syarikat penapis air.

Mohd Noor Azly berkata, ketika kali kedua pergi ke rumah itu, lelaki sama keluar sekali lagi dan mengambil gambar saya menggunakan telefon bimbitnya beberapa kali menyebabkan saya bertanya tujuannya.

Artikel Berkaitan:

“Ketika itu berlaku pertengkaran mulut dan sedikit pergelutan sebelum dileraikan dan saya berlalu meninggalkan tempat kejadian.

“Pada malam semalam pula saya mendapat pesanan WhatApps daripada seorang rakan yang menghantar tangkap layar gambar saya bersama rakaman suara mendakwa saya memukau penduduk sedangkan perkara itu tidak benar,” katanya.

Tambahnya, susulan itu dia kemudian membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu pada jam 2.30 petang hari ini berikutan bimbang keselamatannya akibat daripada dakwaan berkenaan.

“Selama 10 bulan bekerja dengan syarikat ini, kejadian seperti ini pertama kali berlaku. Tuduhan itu tidak betul dan menjejaskan keselamatan saya. Saya juga menggunakan kereta saya jenis Perodua MyVi dengan nombor plat kenderaan yang sama depan belakang, bukan tidak sama seperti dituduh.

“Kerja saya perlu berdepan dengan orang dan apabila gambar saya ditularkan dengan dakwaan seperti ini menyebabkan pendapatan saya terjejas,” katanya.

Sebelum itu, tular gambar Mohd Noor Azly bersama rakaman suara seorang wanita yang mengatakan dia cuba pukau penduduk kampung berkenaan.

Laporan polis oleh Mohd Noor Azly yang menafikan tuduhan itu juga tular di media sosial.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!