Kes barang kemas Rosmah: Permohonan tangguh perbicaraan 22 Oktober ini

Rosmah - Foto Bernama
Rosmah - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 22 Oktober ini untuk mendengar permohonan Datin Seri Rosmah Mansor untuk menangguhkan perbicaraan kes saman yang difailkan sebuah firma barang kemas Lubnan memohon supaya dikembalikan 44 barang kemas bernilai AS$14.79 juta atau hampir RM60 juta yang didakwa dihantar kepada isteri bekas perdana menteri itu untuk diperiksa.

Peguam, Datuk David Gurupatham mewakili firma barang kemas, Global Royalty Trading SAL berkata, permohonan itu akan didengar pada sebelah pagi di hadapan Hakim, Wong Chee Lin.

"Jika keputusan mahkamah tidak memihak kepada Rosmah, perbicaraan akan diteruskan pada tengah hari dan kami telah pun bersedia dengan tiga saksi, termasuk tukang emas Lubnan, Samir Halimeh untuk memberi keterangan," katanya kepada pemberita selepas pengurusan kes itu yang disebut di dalam kamar Hakim Wong.

Peguam itu berkata mahkamah menetapkan tiga hari, bermula 22 Oktober ini untuk perbicaraan.

Bagaimanapun, Gurupatham berkata, beliau membantah permohonan Rosmah untuk penangguhan itu dengan berkata, kes mereka hanyalah untuk mendapatkan semula 44 barang kemas dan anak guamnya akan memfailkan afidavit untuk membantah penangguhan itu.

Rosmah memfailkan permohonan penangguhan itu sementara menunggu keputusan rayuan kerajaan di Mahkamah Rayuan terhadap keputusan mahkamah yang membenarkan beliau melantik pakar barang kemas bebas untuk mengenal pasti dan mengesahkan jumlah barang kemas yang ketika ini berada dalam simpanan Bank Negara Malaysia.

Dalam saman itu, Global Royalty mendakwa pada 10 Februari 2018, syarikat itu menghantar 44 barang kemas termasuk kalung berlian, anting-anting, cincin, gelang tangan dan tiara masing-masing bernilai antara AS$124,000 (RM519,183) dan AS$925,000 (RM3.8 juta), kepada defendan melalui serahan tangan menerusi dua ejennya.

Syarikat itu mendakwa, semasa serahan, Rosmah mengesahkan dan menerima terma serta syarat yang terkandung dalam Memorandum No. 926 berkaitan barang kemas itu.

Artikel Berkaitan:

Syarikat itu seterusnya mendakwa bahawa Rosmah, dalam surat bertarikh 22 Mei 2018, turut mengesahkan dan mengakui penerimaan barang kemas itu tetapi menyatakan kesemua barang kemas berkenaan bukan lagi dalam pemilikannya selepas dirampas oleh pihak berkuasa Malaysia.

Global Royalty memohon perintah perisytiharan bahawa syarikat berkenaan adalah pemilik 44 barang kemas, dan suatu perintah supaya pemilikan barang kemas itu tidak dipindahkan kepada defendan.

Ia turut memohon perintah mandatori supaya Rosmah menyediakan senarai barang kemas yang dirampas, supaya barang kemas itu dikembalikan atau Rosmah perlu membayar harga barang kemas iaitu AS$14.79 juta (RM59.83 juta).

Peguam N. Rajivan dan Mohamed Reza Rahim mewakili Rosmah. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!