Lebih 2,200 ditahan sejak protes tercetus di Hong Kong
BEIJING - Polis Hong Kong menahan lebih 2,200 orang yang terbabit dalam 400 protes anti kerajaan di bandar raya itu, memetik Ketua Eksekutif, Carrie Lam pada Rabu lapor agensi berita Sputnik.
Terdahulu, Lam yang dijadual berucap pada Majlis Perundangan terpaksa membatalkan hasratnya itu apabila ahli Parlimen pembangkang membantah dan melaungkan slogan selain mendesak Lam meletakkan jawatan. Beliau kemudian menyampaikan ucapannya menerusi rakaman video.
"Hong Kong sebelum ini merupakan sebuah bandar paling selamat di dunia, bandar yang bertamadun, bebas dan pluralistik tanpa prejudis, di mana undang-undang dipatuhi. Dalam beberapa bulan kebelakangan ini bandar itu terpalit dengan konflik sosial akibat rang undang-undang kontroversi yang membolehkan ekstradisi ke tanah besar China," kata Lam.
Menurutnya, Hong Kong telah menyaksikan lebih 400 demonstrasi dan perarakan di seluruh bandar sejak empat bulan lalu.
Gelombang itu telah menyebabkan lebih 1,100 orang cedera dan 2,200 lagi ditahan.
"Penunjuk perasaan turut bertindak ganas dan mensabotaj, menyebabkan huru-hara dan ketakutan di Hong Kong yang mengganggu kehidupan harian penduduk. Ramai bertanya apakah keadaan di Hong Kong akan kembali seperti biasa?," tambahnya.
Sejak awal Jun, gelombang protes tercetus di Hong Kong berhubung rang undang-undang ekstradisi yang membolehkan mereka yang ditahan di bekas tanah jajahan Britain itu dihantar untuk perbicaraan di tanah besar China. Protes itu semakin memuncak dan bertukar menjadi demonstrasi anti-China dan anti-polis.
Keadaan tegang bermula pada awal Oktober selepas kerajaan tempatan mengharamkan pemakaian topeng muka semasa berhimpun.
Beijing melihat apa yang berlaku di Hong Kong akibat campur tangan asing dalam urusan domestik China dan menyokong penuh tindakan pihak berkuasa tempatan bahawa kekerasan hanya kepada penunjuk perasaan yang bertindak ganas dan melanggar peraturan. - Bernama
ARTIKEL BERKAITAN: 5 perkara ini berlaku kepada Hong Kong dalam tempoh 24 jam
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!