Belanjawan 2020: Pembangkang bawa permainan persepsi jahat
SHAH ALAM - Pembangkang membawa permainan persepsi jahat kepada rakyat dengan mengulangi isu peruntukan untuk negeri Pantai Timur dan royalti Kelantan dalam Belanjawan 2020.
Ketua Penerangan Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Ulya Aqamah berkata, isu royalti tidak perlu diperdebatkan kerana kerajaan Pakatan Harapan (PH) telah memberikannya kepada kerajaan Kelantan.
Menurutnya, meskipun pembangkang sering mengemukakan bantahan terhadap Belanjawan 2020 namun pembangkang sendiri gagal membentangkan belanjawan alternatif tahun ini.
"Kalau tugas mereka sebagai pembangkang pun gagal, macam mana mereka nak jadi kerajaan?.
"Hari ini kita dapat lihat hanya bersifat persepsi. Tak habis-habis Pantai Timur, royalti.
"Kerajaan beri insentif menyeluruh. Kalau bercakap projek berimpak tinggi untuk negeri Pantai Timur, negeri lain pun ada yang tak dapat," katanya pada program Debat Sinar bertajuk Belanjawan 2020: Siapa Dapat Lebih Manfaat? di Dewan Karangkraf di sini hari ini.
Beliau membalas hujah Penolong Setiausaha Penerangan Pemuda Pas, Nazrul Nazir dalam program yang menampilkan Personaliti TV, Perunding Latihan dan Motivasi, Amin Idris selaku moderator.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!