Pelantikan Jokowi: Lebih 30,000 anggota polis, tentera kawal keselamatan

Jokowi
Jokowi
A
A
A

JAKARTA - Lebih 30,000 anggota polis dan tentera akan ditugaskan menjaga keamanan di kota Jakarta, semasa berlangsungnya pelantikan dan angkat sumpah Presiden Indonesia Joko Widodo (Jokowi) bagi penggal 2019-2024 pada Ahad ini.

Jokowi, 57, dijadual mengangkat sumpah di bangunan Parlimen Indonesia pada jam 2 petang untuk terus memimpin negara demokrasi ketiga terbesar di dunia itu bagi penggal keduanya selepas penggal pertama (2014-2019) sebagai presiden tamat pada 19 Oktober 2019.

Bagi pemerintahan penggal keduanya, Jokowi akan bergandingan dengan pasangan baharunya, Ma'ruf Amin, 76, sebagai naib presiden, selepas pasangannya sebelum ini, Jusuf Kalla tidak layak lagi bertanding pada pilihan raya Presiden 2019 kerana telah dua penggal menjawat jawatan itu sebelum ini.

Undang-undang Pemilu (Pilihan Raya Indonesia), Pasal 7 (Tahun 1945) menetapkan presiden dan wakil presiden (naib presiden) hanya boleh menjawat jawatan itu, maksimum 10 tahun (dua penggal). Jusuf Kalla, 77, adalah juga naib presiden semasa pemerintahan presiden Susilo Bambang Yudhoyono.

Naib ketua Majlis Pemusyawaratan (pewakilan) Rakyat (MPR), Zulkifli Hasan berkata majlis pelantikan presiden dan naib presiden itu akan turut dihadiri pemimpin dan ketua negara luar, yang setakat ini disahkan seramai 17 pemimpin luar akan hadir, termasuk Perdana Menteri Malaysia Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menurut Polis Indonesia, memetik kenyataan Ketua Biro Penerangan Masyarakat Polis Indonesia, Dedi Prasetyo berkata seramai 31,000 anggota polis dan tentera akan mengawal kawasan sekitar bangunan parlimen di Jalan Gatot Soebroto, laluan atau jalan-jalan utama di Jakarta, kawasan Istana Medeka, serta kawasan-kawasan strategik di Jakarta semasa majlis pelantikan itu berlangsung.

Polis juga tidak mengeluarkan sebarang surat izin atau permit untuk mengadakan demonstrasi bermula 15 Oktober lepas sehingga berakhirnya acara pelantikan itu pada Ahad ini.

Isu keselamatan dan ketenteraman awam menjadi fokus utama pihak polis sejak berlangsungnya Pilihan Raya Indonesia pada 17 April lepas, selepas berlaku beberapa insiden demonstrasi dan rusuhan selepas keputusan pilihan raya itu pada 21 Mei lepas.

Artikel Berkaitan:

Beberapa kejadian demonstrasi dan rusuhan kebelakangan ini (awal Oktober) oleh golongan mahasiswa, pelajar dan pihak tertentu yang membantah pindaan rang undang-undang berkaitan rasuah dan jenayah, serta kejadian seorang menteri Indonesia yang ditikam ketika menghadiri satu majlis bersama rakyat, mencetuskan kebimbangan akan tahap keselamatan pada hari pelantikan presiden itu nanti. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!