Alam Flora sasar kutip 500 tan minyak masak terpakai

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Alam Flora Sdn Bhd (Alam Flora) menyasarkan untuk mengutip 500 tan minyak terpakai setiap bulan menerusi program lori bergerak ‘3R On Wheels’ sebagai usaha berterusan dalam melestarikan alam sekitar.

Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora, Datuk Mohd Zain Hassan berkata, perkara itu penting bagi mengelak penyalahgunaan sisa minyak terpakai dalam kalangan pengguna khususnya pengusaha kedai makan.

“Kita risau ada pihak tidak bertanggungjawab yang memproses semula minyak terpakai dan menjual semula kepada pelanggan. Ini bahaya dan kita tidak mahu perkara tersebut berlaku.

“Kita juga mahu agar sisa-sisa makanan ini disimpan dan diuruskan secara elok, bukan dengan hanya membuang di belakang lorong seperti longkang kerana ia boleh merosakkan infrastruktur longkang dan sebagainya” katanya dalam program ‘3R On Wheels’ di perkarangan Wisma Bernama hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Zain berkata, sehingga kini pihaknya telah berjaya mengumpul 100 tan minyak terpakai setiap bulan namun mengharapkan peningkatan daripada jumlah itu bagi membantu industri biogas dalam usaha mengurangkan kos pembelian bahan api mereka.

“Melalui minyak yang kami beli daripada pengguna, kami akan berikan kepada industri sekali gus ia mampu mengurangkan kos mereka untuk membeli bahan api lain, jadi itu antara perkara yang kita sedang usahakan di samping menjaga alam sekitar,” katanya.

Sementara itu, Mohd Zain berkata, program ‘3R on Wheels’ dengan kerjasama Petronas Dagangan Berhad itu dilaksanakan melalui kutipan mata ganjaran pemegang Kad Mesra Petronas dengan hasil jualan barang kitar semula di lori ‘3R On Wheels’.

Katanya, jadual kutipan bagi lori bergerak ‘3R On Wheels’ akan dihebahkan melalui platform media sosial Alam Flora termasuk di Facebook, Twitter dan Instagram bagi membolehkan mereka merancang menghantar barangan kitar semula mengikut jadual.

Artikel Berkaitan:

Program lori bergerak ‘3R On Wheels yang dilaksanakan sejak awal tahun ini meliputi tiga kawasan konsensinya iaitu di sekitar Kuala Lumpur, Putrajaya dan Pahang.

Dalam pada itu, Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Datuk Seri Azman Ujang berkata, pihaknya akan secara konsisten menghebahkan tentang kepentingan menjaga alam sekitar khususnya kepada masyarakat.

“Saya ucapkan tahniah dan syabas kepada Alam Flora kerana datang ke Bernama hari ini. Bagi Bernama yang mempunyai pelbagai platform media ini, mulai sekarang kita akan secara konsisten mewar-warkan untuk menyedarkan kepada rakyat dan orang ramai betapa pentingnya untuk menjaga kelestarian alam sekitar ini.

“Saya juga secara peribadi beranggapan Alam Flora ini sebagai wira yang tidak didendang kerana mereka melakukan tugas dan tanggungjawab yang amat penting ini memandangkan tidak ramai yang menyedari kepentingannya” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!