Pusat hiburan, snooker disita
KUANTAN - Sebuah pusat hiburan dan pusat snooker di bandar ini disita Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) dalam Ops Hiburan kerana kesalahan mengadakan operasi tanpa lesen sebentar tadi.
Pegawai Perhubungan Awamnya, Norkamawati Kamal berkata, operasi tersebut membabitkan dua jabatan dalaman MPK iaitu penguat kuasa dan pelesenan.
Menurutnya, operasi pertama melibatkan sebuah premis pusat hiburan di Jalan Gambut manakala operasi kedua di pusat snooker hiburan di sebuah pasar raya terkenal bandar Kuantan.
"Jumlah jentera yang terlibat untuk kedua-dua operasi adalah 10 termasuk lori dan kenderaan jabatan manakala kekuatan anggota membabitkan seramai 61 orang termasuk pegawai.
"Premis hiburan tersebut sebelum ini pernah disita dan ini merupakan operasi penyitaan kali kedua.
"Berdasarkan maklumat awam yang diterima MPK difahamkan mereka kembali aktif beroperasi sejak dua bulan lalu," katanya.
Sementara itu, premis snooker tersebut pernah mempunyai lesen sebelum ditarik kerana beberapa kesalahan berulang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!