Dulu mangsa buli, kini kembar 7G bergelar usahawan
PERNAH dikecam teruk oleh netizen kerana kesilapan menyalahkan sekolah dan guru gara-gara keputusan gagal 7G, Instafamous, Siti Norsyafiqah Tajudin atau lebih dikenali Ieka dan kembarnya, Siti Norsyakirah (Iera) kini bergelar usahawan.
Pengakuan itu dibuat dalam satu video di muat naik di Facebook hingga tular.
Bermula daripada kecaman itu, Ieka berkata, dia nekad untuk membuktikan kepada masyarakat meskipun mereka tidak memiliki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan digelar kembar 7G, mereka boleh berjaya setanding orang lain.
Mengimbau detik hitam dalam hidup mereka, Ieka dan Iera, 18, dikatakan pernah menjadi mangsa buli di sekolah selain mengalami fobia melampau.
Ieka mendedahkan, ketika di bangku sekolah, dia mengalami pengalaman mengerikan apabila pernah dikejar oleh seorang pelajar lelaki tanpa sebab hingga menjadi fobia.
"Waktu itu saya mahu ke tandas, tiba-tiba ada mamat ni kejar saya tanpa sebab. Saya jadi fobia dan takut untuk ke sekolah.
"Bukan itu sahaja, rakan-rakan juga sering buli kami berdua hingga membuatkan kami rasa 'down' dan tidak mahu ke sekolah," katanya sebak.
Akibat tekanan dialami Ieka mengakui tersilap langkah dengan membuat 'live' di Instagram, menyalahkan sekolah dan guru-guru setelah memperoleh 7G.
"Orang luar tidak berada di tempat kami, tak merasai apa yang kami lalui. Kami tertekan dan akhirnya membuat keputusan tidak menjawab apa jua soalan ketika peperiksaan pertengahan tahun hingga kami mendapat keputusan 7G.
"Bukan kami tidak pandai seperti diuar-uarkan oleh netizen sebaliknya itu keputusan kami untuk tidak menjawab apa-apa subjek dalam SPM," luahnya.
Ieka berkata, kes penularan keputusan 7G tersebut tiada kaitan dengan sekolahnya tetapi melibatkan kalangan kawan-kawan yang didakwa ingin menjatuhkan dirinya dan pasangan kembarnya.
"Pada mulanya kami tidak faham tiba-tiba netizen kaitkan kami dengan 7G, selidik punya selidik akhirnya kami tahu keputusan SPM kami viral.
"Masalah ini hanya melibatkan kalangan kawan kami sahaja yang ingin menjatuhkan kami berdua dan sanggup menyebarkan isu privasi kami kepada orang awam termasuk nombor kad pengenalan.
"Kami anggap perbuatan itu agak melampaui batas dan menjatuhkan maruah. Hanya kerana kami melakukan satu kesilapan mereka menghukum kami sedemikian hingga mengaibkan kami," luahnya.
Namun katanya, kisah itu semuanya kini menjadi lipatan sejarah, segala tohmahan, cacian dan kritikan membuatkan mereka menjadi lebih matang dalam mengharungi segala dugaan yang mendatang.
"Benar semua itu telah berlalu, kami telah tampil meminta maaf kepada pihak sekolah. Hubungan dengan rakan-rakan juga sudah baik, mereka juga telah meminta maaf kerana tularkan keputusan kami.
"ALLAH telah jauhkan kami dengan rakan-rakan namun ALLAH telah menghadiahkan kami sebuah kisah yang lebih menarik untuk kami teruskan kehidupan mendatang.
"Kami lebih matang dan mula berjinak-jinak dalam dunia perniagaan. Walaupun akademik kami tidak begitu baik tetapi kami perlu berusaha dalam bidang yang lain pula.
"Kami juga telah mengeluarkan produk kecantikan sendiri atas tunjuk ajar daripada insan berhati mulia," katanya mengakhiri perbualan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!