Mancini pasang hajat tinggi

Roberto Mancini
Roberto Mancini
A
A
A

PENGENDALI Itali, Roberto Mancini berjaya membantu The Azzurri meneruskan rentak cemerlang dalam aksi Kelayakan Euro 2020 apabila membenam cabaran Liechtenstein 5-0 di Stadium Rheinpark awal pagi semalam.

Ia sekali gus menjadi kemenangan kesembilan berturut-turut buat Mancini sejak mengambil alih Itali pada Mei 2018 selepas The Azzurri gagal melayakkan diri ke Piala Dunia 2018 di Rusia.

Lebih manis, bekas pengendali Inter Milan dan Manchester City berusia 54 tahun itu kini berjaya menyamai rekod jurulatih legenda Itali, Vittorio Pozzo yang merekodkan sembilan kemenangan berturut-turut.

Bagaimanapun, Mancini mengakui beliau masih belum berpuas hati dengan rekod tersebut dan mengidamkan kejayaan lebih besar selepas ini.

“Untuk menyamai rekod kemenangan Pozzo ini memang amat bagus tetapi saya lebih suka untuk menyamai rekod kejayaannya meraih dua gelaran Piala Dunia pada 1934 dan 1938 serta pingat emas Sukan Olimpik (1936).

“Memang ia masih jauh untuk direalisasikan tetapi saya yakin dengan kemampuan pasukan yang semakin meningkat setiap hari. Bagi saya, menang Euro 2020 sudah memadai,” katanya.

Terdahulu, Pozzo mencatatkan rekod kemenangan sembilan kali berturut-turut bersama Itali pada 1938-1939 sebelum Mancini berjaya menyamai rekod yang telah berusia 80 tahun itu.

Rekod cemerlang Mancini bermula dengan kemenangan pada perlawanan persahabatan menentang Amerika Syarikat disusuli kemenangan ke atas Finland (2 kali), Liechtenstein (2 kali), Greece (2 kali), Bosnia Herzegovina dan Armenia pada aksi Kelayakan Euro 2020.

Artikel Berkaitan:

Malah, Mancini juga berupaya meraih kemenangan ke-10 bulan depan dalam dua lagi baki aksi kelayakan menentang Bosnia dan Armenia. Itali kini menduduki tangga teratas Kumpulan J apabila mengumpul 24 mata selepas mengharungi lapan perlawanan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!