Mesti jejak kaki ke semi final
TIADA alasan buat skuad bola sepak Bawah 23 (B-23) tahun negara untuk sekurang-kurangnya layak ke separuh akhir selepas diundi dalam kumpulan mudah pada Sukan SEA di Filipina November depan.
Jurulatih berpengalaman, Mohd Azraai Khor Abdullah melihat hanya kelibat Filipina dan Myanmar dalam Kumpulan A menjadi halangan utama buat skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee itu melepasi saingan peringkat kumpulan.
“Mahu tidak mahu dalam kumpulan tersebut kita kena layak. Tiada alasan melihatkan laluan mudah yang sudah ada di depan mata, malah saya percaya kemampuan pasukan negara serta kualiti yang dimiliki, saya jangkakan mereka dapat layak sehingga perlawanan separuh akhir,” katanya.
Azraai berkata, walaupun berpeluang untuk mara lebih jauh dan dibarisi pemain berkualiti, Kim Swee tidak boleh ambil mudah dan persiapan rapi harus diatur lebih awal.
“Segalanya bergantung kepada persiapan yang perlu direncana awal Kim Swee. Nampak mudah tetapi ia akan memberikan kesukaran kepada kita apabila kita tidak bersedia sepenuhnya.
“Selain itu, kita juga perlu berhati-hati dengan permainan Filipina, apatah lagi mereka bermain di tempat sendiri dan kita tahu bagaimana hebatnya penyokong mereka,” katanya yang pernah membimbing skuad Harimau Muda.
Pada Sukan SEA kali ini, Malaysia diundi dalam Kumpulan A bersama tuan rumah, Filipina, Myanmar, Kemboja dan Timor Leste manakala Kumpulan B yang dianggap ‘kumpulan maut’ menampilkan Thailand, Indonesia, Vietnam, Laos, Singapura, Brunei.
Kali terakhir Malaysia memenangi emas di pentas Sukan SEA adalah pada edisi 2011 di Jakarta. Pada edisi 2017, Malaysia merangkul pingat perak selepas tewas 0-1 kepada Thailand.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!