Menyelam kutip tapak sulaiman
KUALA TERENGGANU – Lebih 180 tapak sulaiman mahkota berduri (Crown of Thorns Starfish–COTS) atau nama saintifiknya 'Acanthaster planci' berjaya dikutip oleh sekumpulan penyelam di sekitar Pulau Perhentian, Besut semalam.
Ketua Unit Cawangan Taman Laut dan Pengurusan Sumber, Jabatan Perikanan daerah Besut, Abdul Ghaffar Salleh berkata, tapak sulaiman berduri itu ditangkap sempena Program Pengukuhan Komuniti di pulau itu bermula Ahad lalu.
Menurutnya, dalam program melibatkan aktiviti pembersihan dasar laut tersebut selain COTS, sebanyak 500 kilogram pukat hantu (ghost net) turut dikutip hasil kerjasama 65 peserta termasuk 50 penyelam.
“Program ini kita anjurkan setiap tahun bagi memelihara hidupan marin. Kita kumpulkan penyelam yang sukarela membantu kita bersihkan dasar laut, kalau kakitangan kita saja memang tidak mampu untuk kutip ghost net dan tapak sulaiman,” katanya kepada Sinar Harian.
Antara agensi yang terlibat dalam program itu adalah Jabatan Bomba dan Penyelamat, Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM), Jabatan pendidikan negeri, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Kemas dan Jabatan Pertahanan Awam bersama penyelam dari Ecoteer, Seasight, Fauna, D&O, Universal Diver dan Kelab Diver Perak.
Dalam tempoh tiga hari program berlangsung antara lokasi yang dibersihkan sekitar Pulau Perhentian adalah Shark Point, Terumbu 3, Serenggeh, Lagoon, Batu Nisan dan Tokong Laut yang didapati mempunyai banyak tapak sulaiman berduri.
Abdul Ghaffar berkata, tapak sulaiman berduri dan ghost net iaitu pukat nelayan hanyut perlu dibersihkan kerana jika dibiarkan jumlah yang banyak boleh merosakkan terumbu karang dasar laut.
“Tapak sulaiman berduri yang dikutip akan dilupuskan dengan cara ditanam di tepi pantai sedalam lebih satu meter manakala ghost net pula dibakar,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!