Kedai bergerak kembali, kini di sekitar Tambun

Aminuddin (dua dari kanan) menunjukkan sebahagian produk yang dijual oleh kedai bergerak yang dilancarkan pada Isnin lalu.
Aminuddin (dua dari kanan) menunjukkan sebahagian produk yang dijual oleh kedai bergerak yang dilancarkan pada Isnin lalu.
A
A
A

IPOH - Kedai bergerak yang sebelum ini cukup popular dalam kalangan rakyat Perak menerusi kendalian Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan (YBUDR) kini kembali menemui masyarakat sekitar kawasan Parlimen Tambun.

Ketua UMNO Bahagian Tambun, Datuk Aminuddin Md Hanafiah berkata, inisiatif mengembalikan semula kedai bergerak itu dilakukan UMNO Bahagian Tambun dengan kerjasama sebuah syarikat.

Menurutnya, seperti yang dilaksanakan YBUDR sebelum ini, kedai bergerak itu menjual barangan lebih murah daripada kedai runcit sedia ada melibatkan barang-barang keperluan harian seperti beras, gula, tepung minyak masak dan sebagainya.

"Usaha ini merupakan kesinambungan daripada KB1AJ (Program Kedai Bergerak 1 Amanjaya) dahulu untuk membantu sedikit sebanyak meringankan beban rakyat yang terkesan akibat kenaikan kos harga barang di pasaran.

"Harga jualan 10 hingga 15 peratus lebih murah berbanding harga runcit biasa di kedai dan hampir semua barangan adalah keluaran syarikat pembekal makanan bumiputera," katanya kepada Sinar Harian semalam.

Aminuddin berkata, program berkenaan akan dijalankan secara berkala dan bergilir-gilir dalam tempoh dua minggu sekali membabitkan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Manjoi dan DUN Hulu Kinta.

Katanya, pada Isnin lalu, Program Jualan Runcit Kedai Bergerak itu dilaksanakan secara rasmi di Kampung Dato' Ahmad Said, Manjoi di sini dengan kehadiran yang sangat menggalakkan daripada orang ramai.

Menurutnya, program berkenaan juga turut mendapat sokongan kuat daripada Pas Kawasan Tambun yang mengalu-alukan program untuk manfaat rakyat seperti itu.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, jualan kedai bergerak itu bermula jam 8.30 pagi hingga jam 12.30 tengah hari bergantung kepada jumlah stok barangan yang dijual.

Sementara itu, seorang penduduk, Hasanudin Jiran, 62, berkata, program tersebut amat bermakna dan sangat membantu masyarakat setempat.

Katanya, dengan harga yang sangat murah dijual di kedai bergerak ini, pastinya orang ramai akan menunggu setiap kali jualan di kedai bergerak ini.

Bagi Nora Sultan Illah, 47, pula, program jualan kedai bergerak itu mengimbau kembali pelaksanaan KB1AJ yang sangat dinantikan rakyat setiap bulan.

"Terima kasih kepada UMNO Bahagian Tambun dan syarikat berkenaan yang membuat inisiatif ini dalam usaha membantu meringankan beban rakyat.

"Sekurang-kurangnya, penjimatan ini dapat digunakan untuk perbelanjaan lain dalam keluarga dan kami rakyat di sini berharap ia akan diteruskan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!