2 jam pujuk lelaki putus cinta cuba terjun bangunan
KLANG - Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) berjaya memujuk seorang lelaki daripada terjun dari tingkat lima bangunan sebuah pangsapuri berhampiran Bandar Baru Klang, awal pagi tadi.
Ketua JBPM Zon Klang, Samsol Maarif Saibani berkata, sewaktu tiba di lokasi kejadian pada jam 4.35 pagi, anggotanya mendapati lelaki terbabit berada di bawah pengaruh alkohol dan dipercayai mengalami masalah mental berikutan putus cinta.
Beliau berkata, lelaki berusia sekitar 30-an itu berada di atas palang penghubung antara salah satu tiang utama dengan dinding rumah di tingkat lima pangsapuri berkenaan.
"Sejurus tiba, komander operasi dan anggota dari JBPM Sungai Pinang cuba menggunakan kaedah memujuk mangsa berkenaan untuk menggelakkan dia daripada terjun," katanya dalam satu kenyataan.
Mengulas lanjut, Samsol berkata, pihaknya juga turut menggunakan tangga sehingga ke tingkat tiga bangunan berkenaan dan menghubungi Pusat Gerakan Operasi (PGO) bagi memohon bantuan pasukan jentera tangga putar (TTL).
Samsol berkata, pihaknya mengambil masa hampir dua jam untuk memujuk mangsa terlibat dan berjaya membawanya turun dari tingkat lima menggunakan 'bucket TTL'.
"Mangsa kemudiannya diserahkan kepada polis dan tiada sebarang kemalangan jiwa berlaku sewaktu kejadian itu," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!