Najib persoal komik didakwa berbentuk propaganda diedar di sekolah
SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menimbulkan persoalan sama ada Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik memberi kebenaran sebuah komik didakwa berbentuk propaganda diedarkan di sekolah menengah kebangsaan dan jenis kebangsaan di negara ini.
Najib menerusi satu hantaran di laman sosial Facebooknya malam tadi turut memuat naik gambar sepucuk surat kebenaran dan beberapa helaian muka surat komik 'Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama' tersebut yang didakwa menyebarkan propaganda itu.
"Maszlee dah bagi kebenaran ke? Muzium Kebudayaan Komik Asia di Komtar yang dibiayai oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang di mana bossnya adalah Superman Hew Kuan Yau, sedang menyebarkan komik propaganda kepada sekolah-sekolah menengah kebangsaan dan jenis kebangsaan.
"Propaganda dalam komik ini mengagung-agungkan parti DAP, memberi bayangan bahawa kerajaan Malaysia hipokrit dalam layanan kepada komunis dan memburuk-burukkan kerajaan lama serta saya dan keluarga saya, adakah ini dasar pendidikan #MalaysiaBaharu?," tulisnya.
Menerusi gambar dikongsikan, surat bertarikh 8 Oktober 2019 dan keterangan surat itu ditujukan kepada pengetua sekolah.
Komik 'Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama' dinyatakan sebagai pemberian ihsan Muzium Kebudayaan Komik Asia.
Komik berkenaan diterbitkan pada April 2019 atas kerjasama kolektif antara kurator Dr Hew Kuan Yau dan artis komik tempatan Ching Po Ling.
Ia diterbitkan dalam tiga bahasa iaitu, Melayu, Cina dan Bahasa Inggeris.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!