Kereta terbang: Kementerian bincang hala tuju mobiliti udara

Mohd Redzuan
Mohd Redzuan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pembangunan Usahawan telah membuat penyelarasan untuk membincangkan hala tuju dan keperluan industri mobiliti udara bersama Pihak Berkuasa Penerbangan Awam (CAAM), Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (Jupem) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Menterinya, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof berkata, selain itu Kementerian Pengangkutan juga telah mengadakan sesi libat urus bersama agensi-agensi pelaksana pada 5 September untuk merangka dasar, pelesenan dan garis panduan bagi memastikan kelancaran pembangunan ekosistem mobiliti udara.

"Di Malaysia, pembangunan mobiliti udara akan dijalankan secara berterusan bagi memastikan negara bersedia memenuhi keperluan industri menjelang tahun 2030," katanya ketika menjawab soalan Khairy Jamaluddin (BN-Rembau) berkenaan tahap persediaan kementerian dalam membina dan mempersiapkan pelan ekosistem utama dan sokongan bagi industri kereta terbang di Malaysia.

Mohd Redzuan berkata, ia seiring dengan dapatan Forum Ekonomi Dunia pada 2016 yang menjangkakan mobiliti udara akan menjadi mod utama pengangkutan menjelang 2030.

Katanya lagi, laporan syarikat penyedia perkhidmatan profesional multinasional, PriceWaterhouseCoopers, menjangkakan nilai industri mobiliti udara meningkat kepada AS127 bilion (RM531.9 bilion) menjelang 2020.

Menjawab soalan Datuk Mas Ermieyati Samsudin (PH-Masjid Tanah) mengenai kemampuan syarikat Malaysia dalam industri mobiliti udara, beliau berkata syarikat tempatan yang terbabit dalam industri berkenaan sudah beroperasi di 24 negara termasuk negara maju.

Malahan, katanya sebuah syarikat Malaysia kini berada di kedudukan ketiga dunia dalam industri mobiliti udara dan dijangka menjadi syarikat nombor satu dunia menjelang akhir tahun ini.

Menurutnya, syarikat berkenaan menyediakan pelbagai perkhidmatan antaranya pesawat tanpa pemandu (UAV), perkhidmatan keselamatan dan risikan. - Bernama

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Kereta terbang pertama Malaysia hampir siap: Menteri

Model prototaip kereta terbang akan dilancarkan pada Oktober 2019

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!