Pemasangan pengecas turbo jadi kegilaan

Tam Turbo Motorsports tawar servis turbo dan naik taraf enjin untuk keselesaan pemanduan

A
A
A

BAGI pemilik kereta berkapasiti bawah 2000cc yang mahukan kuasa dan penjimatan, sering memilih jalan untuk memasang pengecas turbo (turbo charger) pada enjin kereta mereka. Tidak lain tidak bukan, tujuan utama mereka ialah bagi meningkatkan ketumpatan udara yang masuk ke dalam enjin untuk menghasilkan lebih kuasa.

Malah ada pemilik kereta berkuasa 1600cc ke bawah memilih jenama tertentu yang sudah dilengkapi dengan turbo charger untuk kepuasan pemanduan terutama ketika hendak memotong kenderaan lain dan melalui jalan berbukit.

Kegilaan dan minat pemilik kereta terhadap penggunaan turbo diakui oleh pemilik dan pengasas Tam Turbo Motorsports, Mohd Fadzzel Sultan.

Menurut Mohd Fadzzel, ia terbukti apabila permintaan untuk memasang turbo charger dan perkhidmatan servis kereta menggunakan pengecas turbo meningkat saban tahun.

Pengalaman selama 20 tahun dalam dunia turbo menjadikan anak kelahiran Kampung Melayu Subang, Selangor itu popular dalam kalangan pemilik kereta khususnya Proton Exora CFE.

"Memang ramai yang pilih kereta bawah 2000cc kerana pertama, cukai jalannya lebih murah dan ada yang beli kereta yang sudah dilengkapi turbo charger seperti beberapa jenama Proton dan jenama antarabangsa yang lain,” katanya.

Permintaan tinggi

Mohd Fadzzel atau lebih mesra dengan panggilan Pak Tam menambah, dunia turbo telah membawanya ke seluruh negara kerana beliau merupakan antara mekanik berpengalaman dan mendapat jolokan King Of Turbo oleh pengguna jentera turbo Proton.

"Setiap bulan, jadual saya padat, satu Malaysia saya pusing untuk servis turbo kerana bukan sembarangan mekanik boleh melakukan kerja on site ditambah harus berhadapan dengan karenah turbo yang memerlukan penjagaan rapi daripada pemiliknya.

Artikel Berkaitan:

"Tempahan untuk servis kereta turbo mencecah 50 hingga 80 buah kereta sebulan. Saya buat perkhidmatan servis bergerak secara dalam talian malah pelanggan juga boleh datang sendiri menghantar kereta ke bengkel saya di Kampung Melayu Subang atau cawangan di Kajang," katanya.

Menurut beliau, permintaan tinggi terhadap servis dan pemasangan turbo charger untuk kereta bawah 2000cc juga membuktikan bahawa kenderaan yang mempunyai turbo charger menjadi pilihan kerana penggunaan bahan api yang menjimatkan.

Dari segi penjagaan, katanya, paling mustahak, awalkan penukaran minyak enjin dan pastikan minyak tersebut tulen.

Jarak penukaran untuk minyak semi adalah setiap 5,000 kilometer ataupun setiap tiga bulan, mana yang terdahulu.

Selain itu, waktu pemeriksaan turbo untuk kereta baharu pula sekitar jarak 50,000 kilometer atau 3 tahun. Ini bertujuan mencegah kerosakan pada peringkat awal, ujar beliau lagi.

"Tam Turbo juga menawarkan harga berpatutan kepada pelanggan yang ingin menukar turbo bermula dari RM1,000 ke RM2,000 manakala bagi yang berminat untuk menaik taraf enjin contoh dari 1600cc ke 1800cc harga yang ditawarkan bermula dari RM8,000 ke atas beserta gear box,” katanya.

Kepada Sinar Turbo, Pak Tam berkata, alat ganti turbo, enjin dan sebagainya diambil terus dari kilang.

"Harga ubah suai enjin dan penukaran turbo di Tam Turbo berpatutan berdasarkan hasil kerja dan waranti yang diberikan.

"Alhamdulillah atas sambutan yang berterusan daripada para pelanggan," katanya yang gembira kerana dapat merealisasikan impian membuka satu lagi cawangan di Kajang.

Maklumat lanjut layari Facebook dan Instagram Tam Turbo Motorsports.

ANEKDOT

  • Sistem pengecas turbo Turut dikenali sebagai turbo charger. Ia merupakan satu sistem tambahan kepada enjin.
  • Merupakan komponen biasa yang digunakan oleh enjin petrol dan juga diesel. Ia mampu meningkatkan kuasa enjin dengan memaksa udara masuk ke dalam enjin.
  • Turbo charger berfungsi untuk meningkatkan output enjin dan mengurangkan penggunaan bahan api dan mengurangkan kuasa yang hilang.

Kebaikan pengecas turbo pada enjin:

  • Pengecas lampau ditugaskan untuk menghapus sisa gas yang telah terbakar dalam silinder dan membekalkan udara pada satu ketumpatan yang lebih tinggi berbanding dengan yang diperoleh oleh sumber asli (pergerakan udara oleh sedutan).
  • Daya kilas enjin dan kuasa keluaran enjin yang tinggi.
  • Mempertingkatkan nisbah kuasa.
  • Lebih ekonomi (penggunaan bahan api).
  • Pembakaran lebih baik.
  • Kecekapan isipadu lebih baik.
  • Kendalian lebih senyap.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!